Monday 31 October 2011

Fadhilat Amalan 10 Awal Dzul Hijjah

FADHILAT AMALAN 10 AWAL DZUL-HIJJAH – 049
by Abdullah Yasin on Friday, October 28, 2011 at 1:24am

مَا مِنْ أَيَّامٍ العَمَلُ الصَّالِحُ فِيْهَا أَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ ( يَعْنِي أَيَّامُ العُشْرِ ) ، قَالُوا : يَا رَسُوْلَ اللهِ وَلا الجِهَادُفِى سَبِيْلِ اللهِ ؟ قَالَ : وَلَا الجِهَادُ فِي سَبِيْلِ اللهِ إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بشَيْئٍ .

Tidah ada amal-amal soleh yang lebih dicintai Allah melebihi amal soleh yang dilakukan pada hari-hari ini ( yakni sepuluh hari pertama bulan Dzul Hijjah). Mereka (para sahabat) bertanya : Ya Rasulullah, tidak pula jihad di jalan Allah ? Nabi SAW menjawap : Tidak juga jihad di jalan Allah, kecuali orang yang berangkat berjihad di jalan Allah dengan dirinya dan hartanya namun tidak ada yang kembali satupun. (HR Abu Daud, Tarmidzi, Ibnu Majah dan Ahmad ; Menurut Syeikh Nasiruddin Al-Albaniy :Hadis Sahih )

Pengajaran Al-Hadis :

1. Keutamaan amalan soleh pada sepuluh hari pertama bulan Dzul Hijjah ini juga disebut oleh Allah di dalam Al-Quran : ( وَلَيَالٍ عَشْرٍ ) : Demi malam-malam yang sepuluh. (Al-Fajr:2). Para Mufassirin berbeza pendapat tentang tafsirannya : Sepuluh pertama Dzul Hijjah, Sepuluh akhir Ramadhan, Sepuluh pertama Ramadhan, Sepuluh pertama Muharram. Perkataan “malam” dapat juga diartikan dengan “siang”. Menurut Ibnu Rajab : Perdapat terkuat adalah Sepuluh Awal Dzul Hijjah. Inilah pendapat kebanyakan Salaf Al-Soleh terutama Abdullah Bin Abbas RA. Adapun maksud amal-amal soleh tersebut tidak terbatas pada amalan-amalan tertentu tetapi bersifat umum, mencakupi solat, puasa, berzikir, membaca Al-Quran, sadakah, memberi makan fakin miskin, ihsan kepada ibu bapa dan lain-lain.

2. Amal soleh yang paling masyhur diperkatakan oleh para ulama pada sepuluh pertama Dzul Hijjah adalah puasa sunat. Hanya saja baik juga dimaklumi bahawa terdapat pertentangan antara riwayat Aisyah RA yang mengatakan bahawa Nabi SAW tidak pernah melakukan puasa sunat pada sepuluh pertama Dzul Hijjah dengan riwayat Hafsah RA yang mengatakan bahawa Nabi SAW tidak pernah meninggalkan puasa sunat pada sepuluh pertama Dzul Hijjah. Al-Muhaddits Imam Ahmad Ibnu Hanbal RH menjawap dalam hal ini : Jika terdapat riwayat bertentangan antara Nabi SAW melakukan suatu amalan dan riwayat lain meninggalkan amalan tersebut, maka yang dimenangkan dalam hal ini hendaklah riwayat yang melakukannya. Dalam penjelasannya ditempat yang lain beliau berkata : Riwayat Aisyah RA menunjukkan bahawa Nabi SAW tidak melakukan sepenuh sepuluh pertama Dzul-Hijjah, sedangkan riwayat Hafsah RA pula difahami Nabi SAW melakukan kebanyakan hari-harinya.

3. Untuk menghindarkan diri daripada pertelingkahan diatas sebaiknya kita melakukan puasa sunat pada sepuluh pertama Dzul Hijjah tidak sepenuhnya, terutama 10 Dzul-Hijjah yang sudah dimaklumi sebagai Hari Raya Eid Al-Adha dan diharamkan kita berpuasa padanya. Sebaliknya jangan pula sampai ditinggalkan puasa pada Hari Arafah iaitu hari yang ke Sembilan dari Dzul-Hijjah. Rasulullah SAW bersabda : Puasa Hari Arafah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan setahun sesudahnya. (HR Muslim dari Abu Qatadah). Sayogia dimaklumi bahawa puasa Hari Arafah tidak digalakkan ke atas mereka yang sedang melakukan Ibadah Haji sebab Nabi SAW dan Khulafaa’ Al-Rasyidin tidak melakukannya. Hikmahnya : Agar mereka dapat bersungguh-sungguh dan lebih kuat ketika berdoa di Arafah. Inilah pendapat majority Fuqahaa’.

4. Juga terdapat galakan berpuasa Hari Tarwiyah iaitu 8 Dzul Hijjah. Nabi SAW bersabda : ( صَوْمُ يَوْمِ التَّرْوِيَّةِ كَفَّارَةُ سَنَةٍ ) : Puasa pada Hari Tarwiyah dapat menghapuskan dosa setahun. Menurut Syeikh Al-Albaniy : Hadis ini Dha’if (lemah). Oleh itu, sebaiknya jangan niatkan puasa sunat Hari Tarwiyah, tetapi berpuasa sajalah pada hari tersebut dengan niat kelebihan puasa pada sembilan pertama bulan Dzul Hijjah yang memang wujud hadis sahih yang menggalakkannya berbuat demikian sebagai hadis bab diatas.

5. Siapakah yang patut kita ikuti dalam Puasa Arafah ? Salah seorang Kibar al-‘Ulama’ (Ulama Besar) dari Saudi Arabia Syeikh Muhammad Soleh Al-‘Uthaimin RH ketika ditanya : Jika terdapat perbezaan pendapat tentang penetapan Hari Arafah disebabkan kerana perbezaan “ mathla’ al-Hilal “ (tempat terbit bulan) kerana pengaruh perbezaan daerah. Apakah kami berpuasa menurut ru’yah tempat kami tinggal ataukah menurut ru’yah Haramain (Dua Kota Suci Mekak dan Madinah) ? Syeikh Al-‘Uthaiymin Rahimahullah menjawap : Permasalahan ini berpunca dari perbezaan pandanagn ulama’, apakah Hilal (anak bulan) untuk seluruh dunia itu satu ataukah berbeza-beza mengikut perbezaan daerah ? Pendapat yang benar ialah Hilal itu berbeza-beza menurut perbezaan daerah. Misalnya : Di Mekah terlihat Hilal sehingga hari itu 9 Dzul Hijah, sedangkan di negara lain, Hilal Dzul Hijjah telah terlihat sehari sebelum ru’yah Mekah, sehingga 9 Dzul Hijah di Mekah adalah 10 Dzul Hijah di Negara tersebut. Tidak dibolehkan bagi penduduk Negara tersebut berpuasa pada itu sebab pada hari tersebut Eid Al-Adha bagi Negara mereka. Demikian juga sebaliknya jika ru’yah Hilal di suatu Negara berselang sehari setelah ru’yah Hilal di Mekah sehingga 9 Dzul Hijah di Mekah tetapi baru 8 Dzul Hijah di Negara mereka. Penduduk Negara tersebut hendaklah berpuasa pada 9 Dzul Hijah (keesokan harinya) walaupun ketika itu 10 Dzul Hijah menurut perhitungan penduduk Mekah. Pendapat inilah yang lebih kuat kerana Nabi SAW pernah bersabda : Jika kamu melihat Hilal Ramadhan, hendaklah kalian berpuasa, dan jika kamu melihat Hilal Syawwal hendaklah kalian berhari raya. (HR Bukhari dan Muslim). Sebagaimana manusia bersepakat bahawa terbit fajar dan tenggelam matahari itu mengikut daerahnya masing-masing, maka demikianlah ketentuan untuk penetapan bulan sebagaimana penetapan waktu harian. Maksudnya : Ketika menetapkan waktu solat fardhu setiap hari kita hendaklah menetapkannya berdasarkan waktu tempatan, dan tidak perlu mengikut ketentuan taqwim dua Kota Suci Mekah dan Madinah.
Wallahu A’lam.

No comments:

Post a Comment