Thursday 3 November 2011

Catatan Perjalanan (Siri 3)

Aslammualaikum Wr Wb


Ahlan! Ahlan Washalan Bikum Yaa Anak Mersing. Bertemu kita sekali lagi sempena hari yang penuh barakah - 10 hari pertama bulan Zulhijjah. Hari yang Allah sukai kita melakukan apa jua amal baik dan semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita semua, amin. Pada kali ini saya akan mengfokuskan kepada apa yang berlaku di Kuwait.

Kuwait adalah salah satu negara kecil lebih kurang 18 ribu kaki persegi di Asia Barat, di utaranya Iraq dan di timurnya Arab Saudi. Negara yang kaya dengan hasil minyaknya itu mempunyai lebih kurang 3juta penduduk yang mana 1jutanya adalah warganegara sementara yg lainnya orang Arab dari negara lain dan selebihnya bukan orang Arab yang kebanyakannya pekerja sokongan datang dari Asia Tenggara. Bentuk mukabuminya yang rata berpadang pasir dengan 2 musim yang utama iaitu musim panas yang suhunya boleh memcecah 50'Celsius pada siang hari dan musim sejuknya pada waktu malam boleh menjangkau hingga - 10' celsius tetapi tiada salji. Pada masa sebelum Perang Telok kadar pertukaran matawang Dinarnya KD1 bersamaan RM12.00. Kuwait diperintah menurut raja berpelembagaan yang diterajui oleh keluarga Al Sabah.


Pertama kali melihat Kuwait dari udara adalah gambaran rumah kotak berwarna kekuningan yang ada 'sanggul'(tangki air)di atasnya dikelilingi oleh padang pasir yg kosong rata tetapi berhampitan dengan pantai (Telok Parsi) Saya nyatakan pada suami teruknya gambaran tersebut dan dia kata tak pernah tengok orang tinggal dalam rumah kun (dia kata tentang umah kitalah tu macam kun ais krim tu! Gerammmm jer!)Saya tahu juga akhirnya kenapa membina rumah yang tidak menarik seperti tu kerana faktor cuaca yang ekstrim iaitu bila musim sejuk atau panas dan apabila ribut pasir melanda. Pernah satu ketika suami seperti biasa ke luar negara atas urusan kerja saya tinggal seorang di rumah dan ribut pasir melanda kebiasaan pada musim panas serta boleh berterusanan sehingga beberapa hari - rasa sesak nafas sebab udara yang kita sedut semuanya dari pasir halus yang jelas kelihatan di mana-mana. Kita juga tidak boleh/di benarkan memandu sebab penglihatan yang kabur. Saya tidak tahu yang mana satukah yang lebih teruk - berada dalam ribut pasir atau banjir air seperti di negara kita?

Kebiasaanya orang Arab sangat taasub dengan keturunannya, oleh itu nama mereka akan di ikuti dengan nama keluarganya. Keluarga suami juga merupakan antara keluarga yang ternama, terpelajar, dihormati serta kaya raya. Mereka sangat mementingkan salah silahnya dan kerana itu mereka akan pastikan berkahwin semada dari kalangan keluarga atau keluarga ternama yang lain sahaja. Oleh itu kerana suami mengawini bukan sahaja tidak dari keturunan Arab malah orang luar maka tidak hairanlah saya tidak diterima oleh ahli keluarganya pada mulanya... Sudahlah saya masih baru nak berkenalan dan belajar hidup dengan suami,tiada kawan, tiada aktiviti lain dan sekarang tiada saudara mara! Macam mana ni!.... Nangis....dan nyatakan apa yg berlaku - suami urus dan aturkan apa yang perlu.

Pada masa yang sama saya masih ada perasaan curiga tentang suami serta keluarganya dan menyimpan dua nombor telefon orang-orang yang boleh saya harapkan,(almaklumlah ada macam-macam cerita mengenai orang Arab ni yang saya tidak mahu nyatakan di sini..)ketua HELWA ABIM dan 'Mr James Bond' saya - tidak lain dan tidak bukan adalah orang popular di Anak Mersing sepupu saya Abdul Rahman Adam. Saya percaya sekiranya saya perlu keluar dari negara Kuwait kedua-dua orang ini boleh menguruskannya tetapi alhamdulillah ianya berakhir dengan baik.


Selain dari mempunyai kawan-kawan dari Persatuan English Speaking Women, Persatuan Kebajikan Afghanistan serta Persatuan Diplomat Malaysia di Kuwait, saya juga mengikuti kelas Bahasa Arab di Kuwait Universiti alhamdulillah. Saya juga belajar menghafal AlQuran dari seorang Sheikh/Ustad. Pada satu hari dia membawa isterinya sekali, saya tanya pada suami kenapa dia berbuat demikian, kata suami supaya isteri dia boleh dengar sekali macam mana orang Malaysia membaca Al Quran - saya hanya senyum sendiri. Nasib baik saya tidak pandai berlagu kalau tidak tak taulah apa pula yang akan di lakukannya.. Orang Arab (perempuan terutamanya) melihat kita orang Asia sebagai rakyat kelas ke 2 atau sebagai pembantu sahaja kerana kebanyakkan dari pembantu rumah terdiri dari orang Indonesia dan Philipina di samping orang India. Mereka juga tidak dapat membezakan kita datang dari nergara mana tetepi mereka sangat menyanjungi orang Malaysia kerana kepandaian kita membawa Al Quran dengan baik. Saya juga menerima nasib yang sama - pertamanya akan di pandang sebelah mata sahaja tetapi sebaik sahaja diperkenalkan sebagai orang Malaysia dan di nyatakan nama suami dan dari keluarga mana maka sekelip mata kita akan di layan seperti raja! Hipokrit! Sabar je lah.... Oleh kerana itu jugalah semasa di Kuwait suami meminta saya memakai Abaya, baju hitam yang juga popular di Malaysia sekarang ini. (Seperti gambar Akak/Mak Arab celup disebelah tu) Disini jugalah saya belajar kalau hendak solat tidak semestinya pakai telekong kerana boleh terus solat dengannya.

Saya tidak menyangka dipilih menjadi 'Ustazah tidak bertauliah' kepada para isteri diplomat di Kuwait.(Mudah-mudahan apa yang saya sampaikan itu betul, sampai ke hati-hati mereka serta diterima Allah hendaknya amin) Amboi! Rakyat kita yang mengikut suami ke negara-nagara Arab terutamanya ke kuwait memang mendapat layanan yang hebat - rumah macam orang kaya Kuwait.(begitu juga semada di Dubai, Abu Dhabi atau Bahrain) Rumah di Kuwait ni ada sekurang-kurangnya 2 tingkat dan ditambah lagi bahagian bawah tanah - kegunaannya untuk mengadakan majlis keraian dan selalunya yang bawah untuk bahagian wanita. Pandai cakap Arab ke? Jawapannya tidak - setakat naam, lak, sah sahaja (macam cakap orang putih - yes, no, allright!) itula pasal! (belajar rangkap ni dengan Kamal Mohd di Anak Mersing! pada mulanya cuba teka apa jugaaalah maknanya...) belajar lagi main-main! Bila hendak berlatih cakap Arab? - dengan suami, kawan-kawan, di pasaraya serta keluarga semua cakap bahasa Inggeris (cuba mencari alasan lagi!...) Bila di Malaysia pun sama juga mula-mula beriya-iya belajar tapi bila sudah makin tinggi susah sikit mulalah menghilangkan diri dan terus tidak datang kelas... Satu lagi mengenai bahasa ini kita mestilah menggunakannya, jika tidak ianya akan hilang walaupun bahasa ibuanda kita atau bahasa yang kita guna dari kecil lagi. Ianya hampir berlaku pada saya dan ianya menakutkan. Saya tinggal di Kuwait lebih kurang 2 tahun lebih dan tidak balik ke Malaysia atau bercakap bahasa Malaysia hanya apabila berjumpa dengan rakyat Malaysia sebulan sekali. Begitu juga dengan Juz Ammar yang saya hafal tidak dibaca semuanya setiap hari maka ianya hilang juga...


Pada satu hari di hujung minggu dan anak dari bekas isterinya ada bersama dan mengajak kami berkelah, saya dengan gembiranya menyediakan sedikit makanan dan bertolak. Apabila sampai ketempat tersebut saya sudah tidak bersemangat! Mana taknya di bawanya kita ke padang pasir yang kontang tu! Adalah pasir dinaikkan hanya untuk suka-suka... Cubalah tengok gambar disebelah tu - suami bawa anak dia lari turun naik bukit pasir... Salah satu kebiasaan orang Kuwait bila peralihan musim semaada dari musim panas kemusim sejuk atau sebaliknya mereka akan tinggalkan banglo mereka tu dan tinggal dalam kemah di padang pasir - macam pesta pula masa tu. Bila ke pantai pula tidaklah begitu mengembirakan sebab dari kawasan perumahan terus kegigi air tiada rumput apatah lagi pohon nyuir melambai... oleh itu hargailah apa yang kita ada di negara yang tercinta ini. Itulah salah satu sebab mengapa orang Arab pada asasnya kasar, keras, lasak kerana persekitaran mereka yang gersang serta faktor cuaca mempengaruhi watak penduduknya. Sebenarnya ada usaha dari pihak kerajaan untuk menanam pokok-pokok di sepanjang jalan yang disiram pagi dan petang tetapi bila tiba pertengahan musim panas pokok tersebut akan perang dan akhirnya gugur - harap anda dapat gambarkan, maaf tidak berkesempatan merakamnya. Setiap hari hampir sepanjang tahun bila lihat ke langit tiada yang menarik kecuali langit yang kosong semada putih atau biru tetapi pada suatu hari semasa peralihan musim saya lihat awan yang cantik di langit dan alhamdulillah sempat merakamnya - termasuk juga rumah mereka yang terdapat tangki air di atasnya seperti gambar yang di lampirkan.


Oleh itu Anak Mersing sekelian, sebenarnya kita ada banyak perkara yang perlu disyukuri setiap masa lukisan yang Allah nukilkan di dada langit setiap masa, rumput serta pepohon yang melambai,curahan air dari langit yang membasahi bumi serta menghijaukan suasana, memekarkan bebunga di taman, keramahan bicara serta di perindahkan lagi dengan pekerti mulia rakyatnya serta banyak lagi semuanya sepatutnya membuatkan kita menjadi insan yang lebih berterima kasih, kerdil di hadapanNya. Nampaknya hanya setakat ini sahajalah pengalaman yang dapat saya kongsikan pada kali ini. Maafkan saya sekiranya ada perkataan yang menyentuh hati sesiapa dan moga kita boleh belajar darinya. Untuk siri yang akan datang saya akan gambarkan perilaku rakyat Kuwait serta cerita yang sudah lama tertangguh mengenai penaklukan Iraq ke atas Negara Kuwait, insyaAllah.

Sekian, masalamah.

No comments:

Post a Comment