Thursday 17 November 2011

Catatan Perjalanan (Siri 5)


Assalammualaikum Wr Wb serta Salam Sejahtera untuk semua FB Anak Mersing serta kenalan yang saya hormati sekelian. Moga semuanya berada dalam lindungan serta keberkatanNya.

Gambar saya di Desaru, salah satu pusat perlancongan kegemaran saya ketika saya masih memakai niqab. Saya memakai niqab selepas beberapa bulan di Kuwait dan beberapa bulan selepas kembali ke tanahair.

Sebagaimana lazimnya pasangan yang berkahwin, inginkan cahaya mata, saya juga tidak ketinggalan. Meskipun demikian kemahuan atau perancangan kita tidak selalunya sama dengan apa yang telah ditetapkan oleh Ilahi.Hmmm... Jika segalanya berjalan lancar sekarang saya sudah ada anak gadis kembar awal 20an... meriah tu! Ada beberapa permasalahan yang tidak membenarkan ianya berlaku. Saya keguguran dua kali dan kedua-duanya juga kembar. Bukan mudah juga prosesnya, sesiapa yang pernah melihat rancangan E Astro712 Juliana n Bill (bagaimana mereka perlu buat pelbagai cara untuk mendapatkan cahaya mata). Besar kemungkinan juga kerana saya mengambil ubat untuk mengandung. Tidak mengapalah bukan itu perancangan Allah untuk saya.

Saya fikir saya telah melalui banyak halangan, rintangan untuk meneruskan alam rumahtangga bersama En Majid Bader Al Refai ini.Beliau adalah cinta sejati pertama saya dan saya bersedia mengorbankan apa sahaja untuknya... Alhamdulillah3x ada banyak perkara yang saya alami, pelajari, terokai serta banyak dari ciri-ciri keperibadiannya yang saya kagumi hingga kini. Apa yang saya paparkan di sini setakat ini hanyalah percikan dari ombak besar yang perlu saya harungi. Ada sesuatu yang berlaku di dalam hidup saya beberapa hari sebelum Iraq menaluki Kuwait, malah bagi saya ia lebih hebat dari penaklukan itu sekalipun. Apabila kepercayaan di khianati, segala kesabaran ketabahan pengorbanan saya telah berada di puncaknya. Saya tidak pandai untuk berpura-pura atau mengatakan sesuatu yang bukan hadir dari hati, walaupun saya mencubanya tetapi amatlah terseksanya jiwa... Dalam usia perkahwinan yang masih muda,dari Februari 1989,maka pada Ogos 1991,kami mengambil keputusan untuk berpisah... Jika saya menerimanya dulu dengan meminta panduan dari Ilahi begitu jualah yang saya lakukan sebelum mengambil keputusan untuk berpisah. Oleh itu saya yakin dengannya - saya tidak tahu apa yang akan berlaku kepada saya tetapi yang pasti saya tidak boleh lagi hidup dengannya. Walaupun jangkamasa bersama melayari kehidupan berumahtangga tidak begitu lama tetapi kesannya tetap ada... namun hidup tetap perlu di teruskan.



Allah merancang segalanya untuk hambanya. Diaturnya saat perpisahan saya seiring dengan penaklukan Iraq ke atas Kuwait.Seperti yang diceritakan dalam catatan perjalanan sebelumnya,saya telah berada di Malaysia,oleh itu saya hanya perlu meneruskannya sahaja. Setelah menziarahi saudara mara serta sahabat handai, perkara pertama adalah saya mesti bekerja. Alhamdulillah semasa saya meninggalkan Malaysia saya menyerahkan perniagaan saya untuk di uruskan oleh seorang kawan. Oleh itu secara rasminya pada Sept 1991 saya menyambung kembali menguruskan taman asuhan tersebut,sesuatu yang saya minat, suka dan gembira melakukannya. Salah satu dari kebaikan berurusan dengan kanak-kanak yang suci bersih adalah mereka juga akan menyayangi kita semula. (Seorang pergi ada 40 lagi yang datang! - anak-anak dari Taska, Yeahhh!!!...) Sekiranya kita mempunyai minat,semuanya akan menjadi lebih mudah alhamdulillah.


Disamping itu saya juga kembali bekerja secara sambilan dengan Kementerian Kebajikan Masyarakat (nama pada masa itu) di bawah projek Taska sebagai penceramah kepada peserta kursus Asas Asuhan Kanak-kanak.(Cikgi! hehehe...) Pada masa yang sama saya perlukan sokongan rakan sekeliling, lalu saya kembali aktif dalam organisasi belia iaitu ABIM - menyertai pelbagai program dari usrah pada setiap minggu kepada acara tahunan bersifat keilmuan, pendedahan, sukarelawan semada untuk tempatan atau luar negara. Salah satu dari program yang saya sertai adalah menjadi peragawati bidan terjun untuk Seminar Wanita Berkejaya. Kebaikkannya saya tidak perlu menjadi 'tengkorak hidup' seperti yang selalu kita lihat di media cetak atau elektronik. Ianya pengalaman yang manis buat saya. Pada masa itu menutup aurat masih di peringkat awal di Malaysia. Tujuan seminar untuk wanita Islam yang berjawatan tinggi masih boleh bergaya walaupun menutup aurat. Untuk menambahkan lagi pendapatan saya juga menyertai perniagaan sampingan dan membuat kerja yang agak gila seperti program menguruskan badan walaupun sudah mula tetap bersenam, mengambil vitamin dan walupun berat saya pada masa itu hanyalah antara 54 - 56kg (tidak dapat nak bayangkan sekarang - rasa macam Baby Eli! (anak gajah) Saya juga suka dan kagum dengan alam semesta - jadi saya sering menyertai persatuan Malaysian Nature Society. Saya merasa sungguh gembira dan hidup saya lebih bermakna alhamdulillah3x. Bagaimana saya melakukan semua kerja itu? Tak tahulah! tapi hidup saya sentiasa sibuk.

Adakah saya perlukan seorang lelaki yang bernama suami? Yang akan merampas kebebasan hidup dan kegembiraan saya! Hehehe...saya pasti anda tahu jawapannya - terima kasih, fobiaaalah dengan hidup berumahtangga! Adakah sesiapa yang berjanji akan membahgiakan saya, menjanjikan bulan dan bintang? Hehehe... saya pasti anda juga tahu jawapannya. Tidak, terima kasih - tolong bawa hati tu jauh-jauh dan tawarkan pada orang lain... Ianya bukan sesuatu yang mudah bagi saya walaupun saya pernah mencubanya - orangnya baik, bijak, lucu ada jawatan yang memuaskan juga dari keluarga yang baik namun hati saya tidak terbuka untuknya... adakah anda boleh hidup dengan seseorang atas dasar kasihan?



Kata orang,gambar mempunyai seribu cerita. Kali ini biarlah juga gambar-gambar saya yang bercerita. Saya ingin memperkenalkan orang yang memberi impak besar dalam hidup saya, seorang sahabat yang berani memperkatakan apa yang benar, melontarkan soalan untuk membantu saya membuat keputusan terbaik, yang mengembirakan saya bila saya kesedihan, yang sama-sama 'gila' bila kami perlu berbuat demikian, yang sentiasa ada bila saya perlukan. Walaupun kehadirannya dalam hidup saya bagaikan sesaat tetapi membawa makna yang mendalam - malangnya kami terputus hubungan... moga dia sentiasa dalam lindungan Allah, bahagia walau bagaimana pun keadaannya - Nurfeta, anak kelahiran Bosnia tetapi dibesarkan, belajar, bekerja dan tinggal di Perancis sehingga kini.











Pada tahun 1993 saya mengambil keputusan untuk meneruskan pengajian dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.Pada masa itu tiada pusat pengajian awam yang menawarkan bidang ini tetapi Alhamdulillah ada pula Pusat Pengajian Swasta yang menawarkannya. Saya telah mengikuti pengajian pada hujung minggu sambil bekerja tetapi peperiksaan dijalankan di Perth Australia. Sebenarnya di Australia mereka 10 tahun lebih kehadapan dari kita dalam bidang ini.

Saya juga ingin berkongsi gambar-gambar yang memaparkan apa yang saya lakukan di tahun-tahun kegemilangan saya semasa menguruskan Pusat Asuhan Kanak-kanak di Damansara Heights Kuala Lumpur bermula dari pertengahan tahun 1988 hingga 1997.
Setiap tahun kami akan mengadakan acara seperti perjumpaan Ibubapa, Jamuan Hari Raya, latihan untuk pekerja, lawatan keluar semada untuk kanak-kanak atau pekerja.
















Oleh kerana saya sangat meminati alam semula jadi,maka banyaklah aktiviti yang melibatkannya saya adakan, seperti berkunjung ke F.R.I.M (Forest Research Institute ofn Malaysia) bersama dengan ibubapa. Aktiviti yang kami jalankan di sana di panggil "meneka sambil meneroka". Ianya sangat menyeronokkan, alhamdulillah.












Beberapa keping gambar saya,menunjukkan aktiviti yang di jalankan di sebuah lagi pusat asuhan bertempat di Johor Bahru.











Sekian dulu untuk kali ini,maaf juga kerana susunan gambar yang tidak menarik. InsyaAllah siri berikutnya saya akan perbaiki dan akan juga memaparkan apakah aktiviti lain yang lebih memcabar dan seterusnya apa yang berlaku kepada En Majid Bader Al Refai.

No comments:

Post a Comment