Thursday 15 December 2011

Catatan Perjalanan (Siri 2)

Assalammualaikum Wr Wb
Semuga semua Anak Mersing sihat, gembira, ceria selalu dan yang penting sekali tetap/tinggi imannya di limpahi rahmah serta keberkatanNya, amin.

Terlebih dahulu saya ingin meminta maaf kerana terpaksa melewatkan cerita mengenai serangan Iraq ke atas Kuwait pada siri berikutnya. Ini berkemungkinan besar kerana kesan sampingan dari kadar 'pertambahan nombor'(usia)yg semacam tidak disedari peningkatannya. Untuk kali ini saya ingin mengemukakan lawatan saya bersama suami ke Peshawar Pakistan.
Dua puluh dua tahun yang lalu merupakan satu jangkamasa yg lama untuk saya mengingati segalanya - alhamdulillah dengan adanya dairi dan gambar2 ianya dapat saya imbas kembali. Mungkin ada yang akan tersenyum dengan koleksi barangan antik saya ni tapi ianya amatlah penting bagi saya. Saya juga tidak percaya masih menyimpan dairi sejak 20 tahun yang lalu. Ianya kecil sahaja, saya juga banyak menggunakan simbol untk mengambarkan sesuatu, sebaris ringkas sudah boleh saya ingati kembali apa yang berlaku - ria atau dukanya juga boleh terasa...

Pertengahan Disember 1989 - musim sejuk di Peshawar Pakistan. Tujuan lawatan kerja bagi suami adalah untuk mengikuti, memeriksa serta menyelaras perkembangan projek pertubuhan amal di bawah peruntuan bantuan oleh Kuwait Finance House di Kuwait. Sepertimana yang kita semua sedia maklum pada masa itu Amerika menyerang Afghanistan dan kebanyakkan penduduknya menjadi pelarian ke sempadan Pakistan. Negara Kuwait membantu pelarian ini yang kebanyakkannya terdiri dari wanita dan kanak-kanak. Alhamdulillah moga Allah menerima amal baik mereka yang terlibat dalam misi ini,amin.

Kami berada selama dua minggu disana. Setelah sampai disana kami tinggal di hotel yang terbaik di tempat itu dan keesokkan harinya suami pergi selama seminggu tanpa khabar berita atas sebab-sebab keselamatan katanya - hanya doa mengiringinya. Ada kalanya nyawa pada masa itu seperti tidak ada nilainya, tidak semena-mena seseorang akan mati ditembak dan tidak tahu siapa yang melakukannya. Projek mereka dijalankan semada di bandar Peshawar sendiri atau di sempadan Pakistan. Bagaimana pun program untuk saya telah siap di atur oleh bahagian wanita pertubuhan amal yang di terajui oleh suami. Hampir setiap hari saya akan di bawa melawat ke tempat projek yang mereka jalankan. Ianya melibatkan bidang penenpatan, perubatan, pendidikan serta program pemulihan. Dari menyediakan kemah/rumah dari tanahliat, kelinik bergerak, kelas untuk anak-anak pelarian, Taman Asuhan Kanak-kanak, kelas dewasa bagaimana menyediakan makanan yang betul, menjahit, bercucuk tanam dan sebagainya Walaupun kemudahan yang disediakan amatlah sederhana tetapi ianya berpatutan dengan kehendak semasa.

Pada suatu hari saya dibawa menaiki jeep ke sempadan Pakistan, mengambil masa lebih dari dua jam melalui jalan merah untuk sampai ke sana. Tidak dapat saya gambarkan bagaimana mereka tinggal bersesak-sesak dalam satu kemah besar (seperti masa di Arafah tapi hanya sementara dan lebih selesa) tetapi hidup mesti diteruskan.... Kanak-kanak adalah kanak-kanak, bermain adalah keutamaannya. Mereka tetap ceria serta pandai mengubahsuai apa saja yang ada disekelilingnya. Sekurang-kurangnya itulah pengubat hati saya melihat senario keseluruhannya. Sepertimana kebiasaan peperangan, pelbagai peristiwa yang berlaku, setiap wanita yang berada di situ (menurut rakan yang menemani saya) semuanya ada pengalaman kehilangan atau mempunyai ahli keluarag yg telah tiada, sakit atau cacat anggotanya. Para wanitanya jarang nampak senyumamnya dan saya amat memahaminya... Saya akan sertakan juga gambar-gambar untuk tatapan kita tetapi tidak sangup merakam mereka yang keadaanya tidak menceriakan seperti di hospital. Maaf juga kerana baru sahaja belajar mengambil gambar juga sampai sekarang yang penting adalah cerita di sebaliknya. Setakat ini photo yang saya rakamkan itu masih belum layak lagi walau pun untuk kelab Mersing Guy.

Lawatan ini cukup menginsafi serta membuka mata saya akan betapa tidak perlunya peperangan. Betullah kata pepatah 'menang jadi arang, kalah jadi abu' Ianya hanya memuaskan kehendak segelintir manusia yang gilakan kuasa dan kekayaan - yang ada hanyalah kemusnahan, kehilangan, kedukaan yang kekal parutnya di hati sesiapa yang mengalaminya. Sebelum perang di Afghanistan, selepasnya, kini dan besar kemungkinan hingga ke akhir hayat dunia ada manusia yang tidak mahu belajar dari sejarah serta tetap mahu mengulanginya. Aneh sungguh perilaku penduduk planet bumi ini...

Disebalik semua kisah lara yang ditempuhi ada dua perkara yang menugakan saya mengenai Peshawar - sekurang-kurangnya hotel tempat penginapan saya menyediakan sup tomato yang paling lazat pernah saya rasai dan masih belum ada yang menandanginya setakat ini. Masyarakatnya amatlah kreatif - terdapat lukisan bukan sahaja di kedai tetapi pelbagai corak atau gambar-gambar lukisan tangan terdapat pada kenderaan seperti beca, bas, lori juga tembok. Saya fikir tidak perlulah diperkatakan lagi bila melihat corak pakaian, hamparan atau peralatan rumah mereka.

Untuk siri berikutnya saya akan paparkan caragaya hidup masyarakat Kuwait secara umumnya yang membawa kepada mudahnya Saddam menakluki negara tersebut serta apa yang berlaku seterusnya. Sekian, wallahualam.

No comments:

Post a Comment