Thursday 8 December 2011

Hakikat Kalimah Syahadah - Ibrahim & Korban

Drpd Dr Abdullah Yasin



ثُمَّ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ أَنِ اتَّبِعْ مِلَّةَ إِبْرَاهِيْمَ حَنِيْفًا ، وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِيْ
Kemudian Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) : Ikutilah agama Ibrahim seorang yang hanif, dan bukanlah dia termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan. ( Al-Nahl : 123 )

Pengajaran Ayat :

1. Kewujudan Kota Mekah dan Manasik Haji seperti tawaf, sa’i, melontar jamarat, air zam-zam dan Ibadah korban, sama sekali tidak dapat dipisahkan dengan tiga insan utama yang pernah hidup pada zaman silam, iaitu Ibrahim, Hajar dan Ismail. Dalam ayat diatas Allah SWT menyuruh Nabi Muhammad SAW agar mengikuti agama Ibrahim memberi isyarat betapa dekat agama Islam dengan agama Ibrahim. Ibrahim seorang yang Hanif, iaitu orang yang ikhlad dan lurus. Hajar pula adalah ibu Ismail dan dari jalur Ismail akhirnya muncul bangsa Arab dan seterusnya sampai kepada Nabi Muhammad SAW.

2. Nabi Ibrahim AS pada suatu malam bermimpi menyembelih anaknya Ismail. Ketika disampaikan mimpinya itu, anaknya Ismail hanya menjawap : Wahai ayah, laksanakanlah apa yang diperintah itu, dan ayahenda akan dapati insya Allah anakenda sabar menghadapinya. ( Al-Saffaat : 102 ). Ismail yang ketika itu berumur 13 tahun segera dibawa ke Jabal Qurban di Mina untuk disembelih. Tapi dengan kuasa Allah, ketika parang dilalui pada leher anaknya tiba-tiba Allah SWT menggantikannya dengan seekor kibasy (kambing besar) dan Ismail selamat berada disisi ayahnya Ibrahim.

3. Ibrahim sangat taat kepada Allah dan tidak pernah mendurhakai-Nya. Bermacam dugaan beliau lalui dengan sabar. Beliau pernah disuruh agar meninggalkan isterinya Hajar dan anaknya Ismail yang masih bayi di padang pasir Mekah, hingga dilempar ke dalam api oleh raja Namrud. Hajar pula isteri yang solehah memiliki iman dan tawakkal yang tinggi ketika ditinggalkan di padang pasir tandus oleh suaminya Ibrahim dalam menjalankan tugas Ilahy tanpa tempat tinggal dan makanan yang mencukupi. Hasil perkongsian hidup dua insan mulia ini, akhirnya muncul seorang anak yang soleh bernama Ismail.

4. Beberapa pengajaran yang dapat diambil dari perjalanan hidup tiga insan utama diatas, antaranya : Perintah Allah jangan terlalu dipikirkan tetapi lakukan saja dengan segera, walaupun dirasakan perintah tersebut seperti tidak masuk akal. Ternyata Hajar dan Ismail tidakpun mati kelaparan dan kehausan di padang pasir Mekah, malahan sebaliknya akhirnya muncul air zam-zam, pembinaan Ka’bah, syareat tawaf, sai, jamarat dan akhirnya muncul Kota Mekah. Ibrahim juga akhirnya tidak kehilangan Ismail dan Ismail juga tidak mati disembelih. Oleh itu, patuhi sajalah Allah dan Allah tidak akan berbuat zalim kepada hamba-hamba-Nya yang soleh dan solehah.

5. Jika anda ingin memiliki anak yang soleh dan seperti Ismail, maka anda mestilah terlebih dahulu menjadi pasangan yang soleh dan solehah. Kehebatan Ismail ada kaitan yang sangat erat dengan kehebatan ayah dan ibunya. Itulah sebabnya, Islam sangat menggalakkan agar mengutamanakan factor agama dan akhlak ketika mencari jodoh. Namun demikian, apapun latar belakang setiap kita, kita masih ada peluang dan kesempatan untuk memperbaiki diri. Jangan putus asa akan rahmat Allah. Omar Ibnu Al-Khattab RA sebagai contoh, beliau bukanlah orang yang baik pada masa mudanya. Tetapi berkat Rahmat Allah, beliau justeru termasuk salah seorang dari 10 sahabat yang dijamin masuk syurga. Semoga Allah SWT memberkati dan merahmati kehidupan kita semua, Amin.

No comments:

Post a Comment