Thursday 10 November 2011

Catatan Perjalanan (Siri 4)


Assalammualaikum Wr Wb buat semua Anak Mersing serta kenalan FB yang saya sayangi sekelian. Terima kasih sekali lagi kerana sudi bersama saya menyusuri detik perjalanan hayat ini...

Merce, Ford, Toyota mengetuai dalam kelas mewahnya, menyusuri lebuhraya 3 atau 6 lorong di negara kecil ini yang di bahagikan kepada 6 lingkarangan jalan (6 rink road) meliputi keseluruhannya. Kemana sahaja destinasinya di kira berdasarkan masa. Kekuatan kuasa membeli rakyatnya membuatkan negara ini menjadi negara pilihan utama para pengeluar kenderaan bermoto memperkenalkan jenama terkini mereka. Setiap rumah atau lebih sesuai dipanggil villa mempunyai 2 atau lebih kereta mewahnya. Mereka juga mempunyai lebih dari 2 orang pembantu tidak termasuk pemandu. Ini mungkin juga kerana dalam sesebuah unit kelurga itu mempunyai 2 atau 3 genarasi kerana mereka memang rapat dari segi ikatan kekeluargaan.

Rolex, Chopard, Channel, Armani, Prada adalah antara pilihan utama jenama terkenal dunia melengkapi keperluan harian mereka. Kemestian melancung ke negara-negara Eropah atau Amerika adalah kesukaannya dan tidak hairanlah mereka memiliki perniagaan, perumahan atau hartanah di negara tersebut. Walau bagaimana pun mereka masih mengekalkan tradisi kebangsaannya seperti menggunakan bahasa Arab, penggunaan pakaian dis dasha serta gutra bagi lelaki dan abaya bagi wanita, perabut rumahtangga, wangi wangian berasaskan oud (minyak wangi termahal) untuk diri atau rumah, makanan dan yang paling penting perihatin terhadap ahli keluarga - lelaki adalah tungak utama keluarganya dalam menyediakan keperluan perbelanjaan, keselamatan serta kebajikan keluarga. Adalah sesuatu yang memalukan sekiranya lelaki tidak dapat memuaikan tanggungjawab tersebut dan alhamdulillah wanita boleh memandu di negara ini.

Para pembaca budiman sekelian, saya ingin menyambung kembali apa yang berlaku pada saya pada tahun 1990 ini. Bagaimana untuk memenangi hati bapa mertua saya? Disamping sokongan kuat dari suami, menyampaikan salam, saya mula menghantar masakan Malaysia setiap kali mereka mengadakan perjumpaan mingguan di rumah mertua. Tidak menjadi halangan bagi saya semada makanan itu mereka hendak cuba, bagi pembantu saja yang makan ataupun buang... (sedih jugalah kalau mereka buat macam tu...) yang penting saya telah berbuat sesuatu untuk menyambung hubungan. Akhirnya setelah hampir 6 bulan bapa mertua serta adik suami dan keluarganya menunjungi saya alhamdulillah. Bukan itu saja saya juga adalah menantu kegemarannya (Yesss!... I did it)

Oleh kerana suami selalu bertugas ke luar negara dan saya memerlukan kenderaan sendiri, saya perlu mengambil lesen memandu dahulu kerana stereng kenderaan di Kuwait semuanya di sebelah kiri. Seperti biasa kerana suami adalah orang Kuwait maka prosesnya lebih mudah - saya lulus dengan jayanya alhamdulillah maka saat yang di tunggu-tunggu telah tiba la...lala...lala...lala. Saya yang sedang jatuh cinta pada Honda spot biru itu pun menjadi pilihan, sebab utamanya lampu dia boleh tutup buka (ala-ala kelip mata gitu... ) Memang lurus bendul betullah! sampai laa ni minat kat Honda... cubalah minta Merce atau BMW spot ke, Ferarri ke best sikit! Kalau kat Malaysia tu setakat KL - JB 2jam jerr kot!... (hehehe... mesti ramai pemandu berhemah macam Kamal Mohd serta Anak Mersing lainnya tersentak macam kena kejutan elektrik...)Alaaa..nama pun 'kalau jer'... dengan Odyssey purba saya tu dari KL ke JB 3jam sahaja insyaallah.

Kita kalau sudah terdesak boleh buat apa sahaja ya. Oleh kerana tiada orang yang pandai menjahit baju kurung maka saya pun mencuba melalui pembacaan buku sahaja, alhamdulillah boleh jadi juga walau pun tidak sempurana begitu juga dengan 2 helai blous lagi - bangga pula rasanya tapi masalahnya ianya terhenti disitu sahaja dan tidak membuatnya lagi sehingga kini...

Pada tahun itu Ramadhan di sambut pada akhir March. Musim bunga walaupun tidak begitu ketara tetapi cuacanya nyaman sekali tetapi bagi saya masih sejuk antara 20-26' celsius. Ianya begitu mengujakan kerana masa bekerja yang lebih pendek 6jam sahaja, setelah berbuka, solat Magrib, Isyak serta diikuti dengan terawih mereka akan menziarahi satu sama lain, di samping bertadarus atau iktiqaf di masjid. Jam 2 atau 3 pagi mereka akan menunaikan solat tahajud secara berjamaah dan seterusnya solat Subuh bergantung kepada bila jatuhnya Ramadhan pada sesuatu musim tersebut. Pada 10 hari terakhir Ramadahan adalah cuti umum bagi seluruh negara Telok. Itulah sebabnya kebanyakkan orang akan mengambil kesempatan mengerjakan umra atau mengerjakan sepenuhnya ibadah di Mekah sahaja sambil menziarahi keluarga di sana. Mereka akan kembali pada hari terakhir Ramadhan atau Raya pertama. Kebiasaannya Solat Aildil Fitri atau Adha dlakukan di temoat terbuka selepas solat Subuh. Makanan utamanya adalah seperti biasa tetapi Kuih Makmur adalah Kuih utama hidangan rayanya. Kuih ini ada pelbagai perasa dan yang utamanya adalah kurma. Setiap keluarga juga menunjungi antara satu sama lain serta diikuti semada makan tengahari atau malam di restoran terkenal.

Kebiasaan musim panas di Kuwait sangatlah panas pada saya, bermula dari bulan Jun, Julai dan Ogos. Ianya adalah cuti sekolah serta masa bekerja yang singkat. Kebanyakkan dari rakyat Kuwait akan melancung ke luar negara dan pekerjanya mengikut giliran akan kembali ke negara masing-masing. Boleh di katakan semuanya tidak begitu rancak seperti biasa. Suhu pula boleh mencecah sehingga 45'celsius pada siang hari waktu puncak musim panas dan pada waktu malamnya pada 5 atau 10' celsius. Cuaca yang sebegini juga menyebabkan sesiapa yang tinggal akan mudah mendapat deman batuk atau selsema. Ini juga adalah waktu yang paling sesuai bagi Iraq mengatur streteginya.

Pada pagi 2hb Ogos 1990 itu seperti biasa sahaja bagi saya dan suami pula telah keluar rumah. Saya tidak balik pada musim panas ini sebab hanya lebih kurang setahun lebih sahaja berada di sini. Apa yang say tahu ramai dari kenalan saya telah atau pun akan berangkat keluar negara atas pelbagai urusan. Sebelum ini saya tinggal di Bayan dan ianya berdekataan dengan istana diraja Kuwait. Saya baru sahaja berpindah ke kawasan lain yang agak jauh sedikit di panggil Hawally tetapi dalam lingkungan 2 jalan (2nd ring road)

Dummm!!!.....dummm!!!... dummm!!!... Lebihkurang jam 10 pagi saya terdengar bunyi dentuman serta gegaran yang kuat serta banyak kali. Setiap kali ianya jatuh setiap kali jugalah jantung saya bagai hendak gugur...(bunyinya lebih kuat dari dentuman meriam untuk bunga api semasa sempena menyambut hari Kemerdekaan kita) rumah bergegar, saya manjauhkan diri dari tingkap yang berkaca. Dari kejauhan saya lihat asap putih dan hitam berkepuk ke awan menunjukkan itu dari kawasan istana. Saya mendapat panggillan dari seorang kawan yang mengatakan Kuwait telah di serang oleh tentera Iraq. Suami juga memberitahu supaya tetap tinggal di rumah sahaja serta beberapa pesanan lagi dan mengatakan dia akan beritau langkah seterusnya. Saya cuba membuka TV mungkin ada berita yang hendak di sampaikan tetapi apa yang saya dapati ianya hanya menyanyi lagu-lagu yang manganjungi Sadam... begitu juga dengan station yang lain, tahulah saya Sadam telah menguasainya. Selepas beberapa ketika ianya berhenti, saya fikir itu cuma hendak menakut-nakutkan orang Kuwait sahaja. Saya hanya mampu beristifar atau berzikir sahaja pada masa itu dan sekiranya saya mati maka disinilah akhirnya hidup saya - di luar bahaya, tidak tahu hendak pergi ke mana?.. sekiaranya 1 sahaja bom itu jatuh atas bangunan maka akan runtuhlah dan mungkin disinilah kubur saya... Maka semuanya terhenti....


keesokan harinya telah kelihatan tentera Iraq di mana-mana. Saya memang sentiasa ada stok makanan di rumah rasanya untuk 2 atau 3 orang adalah mencukupi selama 2 atau 3 minggu. Suami tidak kembali ke rumah kerana menguruskan keluarganya untuk keluar dari Kuwait. Bagaimanapun bapa mertua saya tidak mahu keluar dari Kuwait (saya kagumi pendiriannya yang hendak mempertahankan negara tetapi tidak tahu apa yang dia akan lakukan sedangkan ramai pembesar, pegawai kerajaan apatah lagi keluarga diraja telah meninggalkan Kuwait) Sadam dan Muammar Ghadafi telah tiada, walau apapun yang mereka telah buat tetapi kedua-duanya tahu lambat laun mereka akan mati juga tetapi mereka tetap mahu mati di tanah airnya sendiri mempertahankannya tetapi lain sangatlah dengan para pemimpin serta raja Kuwait ni... Saya menghubungi kedutaan Malaysia di Kuwait menanyakan apakah yang akan mereka lakukan. Mereka merancang akan membawa semua rakyat Malaysia ke Jordan menerusi jalan darat (bermakna merentasi padang pasir walaupun ada jalan)tetapi suami tidak membenarkannya dan tidak percaya dengan janji Sadam. Pada masa yang sama seorang kawan saya Fadilah yang berkahwin dengan orang Arab juga sedang sarat mengandung tinggal bersama saya untuk beberapa hari. Untuk beberapa hari sesekali boleh kedengaran bunyi tembakan atau atau meriam. Saya tetap tinggal di rumah dan mengurungkan diri sehingga hari ke 10 suami akhirnya mahu saya bersama dengan salah satu dari ahli kelurganya meninggalkan Kuwait melalui Dammam ke Saudi Arabia. Adalah sangat menyedihkan melihat longgokan sampah di merata tempat, tiada sesiapa yang kelihatan di mana-mana, tv serta radio telah di rampas, ada cerita mengenai keluarga Kuwaiti yang di bunuh serta wanita Kuwait memang sengaja di rogol oleh tentera Iraq. Tidak dapat saya hendak membayangkan bagaimana sedihnya memikirkan kehilangan negara tercinta walaupun bukan negara saya....

Suami dan adik ipar masih tinggal di Kuwait kerana bapa mertua tidak mahu keluar dari Kuwait. Saya pula di tumpangkan ke Dammam, kami bertolak lebih kurang jam 10 pagi. Pada mulanya ada jalan tetapi lama kelamaan tiada bermakna kami memang merentasi padang pasir sehinggalah saya melihat di kiri kanan ada banyak kereta yang tenggelam, ada yang masih baru, separuh atau tinggal muncung saja. Tidaklah diketahui semada kereta itu semua akan di ambil balik atau dibiarkan berkubur di situ. Tiba-tiba... ada banyak kereta kebal di hadapan kami, saya hanya mampu istifar atau mengucap sahaja ingatkan mereka akan menembak kami tetapi alhamdulillah mereka biarkan kami berlalu sahaja kerana sudah diketahui di dalamnya hanya ada wanita dan kanak-kanak sahaja. Ini juga bermakna kami telah melepasi sempadan kuwait ke Arab Saudi. Setelah hampir 4 jam memandu kumpulan kami yang mengandungi 3 buah kereta berhenti ditengah-tengah padang pasir itu. Saya juga keluar untuk merenggangkan badan - saya melihat sekeliling mendapati bahawa bumi ini bulat (seolah-olah kelihatnya begitu) kerena hanya kami sahaja yang berada di situ (pemandunya memang mahir memandu di padang pasir, sekiranya tidak kereta kami juga akan tenggelam ditelan pasir. Apa yang saya lihat adalah saujana mata memandang hingga ke hujungnya adalah padang pasir yang berwarna perang kekuningan bertemu dengan kaki langit yang kosong berwarna putih kebiru-biruan di sekeliling saya dan merasakan saya amatlah kecil dan kerdilnya hanya dengan ciptaanNya sahaja. Alhamdulillah kerana cuacanya nyaman walaupun jam 2 petang, ada masanya kami semua diam sahaja maka amatlah terasa senyi serta heningnya dengan hembusan angin sepoi-sepoi bahasa... Saya percaya sekiranya ada di antara para jurugambar Anak Mersing di tempat saya memang telah banyak gambar yang beraneka gaya serta ragam. Oleh kerana takjub dengan pemandangan sedemikian hingga terlupa hendak mengambil gambar. Setelah itu kami meneruskan perjalanan ke sempadan kastam Arab Saudi. Sebaik sahaja mereka mendapati saya warga Malaysia saya mendapat ucapan selamat yang meriah sekali. Setelah itu kami meneruskan perjalanan pada waktu malam selamat ke Dammam Arab Saudi, alhamdulillah. Pada saya malam itu sangat cantik sekali, kami masih merentasi padang pasir terdapat taburan beberapa biji bintang dengan bulan yang sedang mengambang penuh, subhanallah. Saya seterusnya tinggal dengan salah seorang kenalan keluarga suami dan berjumpa dengan isteri serta anak-anak adik ipar. Pada 16hb Ogos saya bertolak ke Sinapore dan selamat sampai ke Malaysia pada keesokkan harinya.Beberapa hari setelah itu suami memberitahu bapa mertua dan mereka berdua telah sama-sama keluar ke Arab Saudi. Kawan saya Fadilah melahirkan anaknya di rumahnya di Kuwait tanpa elektrik dan tetap tinggal di sana hingga perang reda. Kuwait masih lagi dalam keadaan yang tidak menentu dan adanya campurtangan dari Amerika Syarikat.

Begitlah yang berlaku pada tahun 1990 yang penuh bersejarah bagi saya. Maaf sekali ini saya tidak dapat menyertakan gambar-gambar tetapi saya berharap anda akan dapat mengambarkannya melalui tulisan saya. Maaf sekiranya ada perkataan saya yang menguris perasaan sesiapa. Sekian

No comments:

Post a Comment