Friday 7 October 2011

KULIAH TAFSIR DR ABDULLAH YASIN vol 1

  Sabtu, October 1, 2011

إِنَّ الَّذِيْنَ آمَنُوا وَالَّذِيْنَ هَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِى سَبِيْلِ اللهِ أُولَئِكَ يَرْجُوْنَ رَحْمَتَ اللهِ ، وَاللهُ غَفُوْرٌ رَحِيْمٌ . Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. ( Al-Baqarah : 218 )



Pengajaran Ayat :



1. Setiap manusia sangat mengharap Rahmat Allah. Rahmat Allah sangat luas. Nabi Muhammad SAW diutus sebagai pembawa Rahmat bagi seluruh alam. Syurga adalah Rahmat Allah. Menurut Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah : Manusia masuk syurga kerana Rahmat Allah. Oleh itu manusia sangat perlu mencari Rahmat Allah. Hanya saja bagaimana cara untuk mendapat Rahmat Allah ? Berdasarkan ayat di atas, ada tiga syarat untuk mendapat Rahmat Allah, iaitu : 1. Iman ; 2. Hijrah ; 3. Jihad Fii Sabilillah.



2. Iman : Iman yang dituntut ada enam cabang yang dikenal dengan Rukun Iman. Dari semua Rukun Iman yang enam, Rukun Iman paling utama adalah Rukun Iman Pertama : Iman Kepada Allah atau Tauhid atau Meng-Esakan Allah. Lawan Tauhid adalah Syirik. Manusia yang mengaku beriman tetapi masih melakukan amalan Syirik dalam kehidupannya seharian maka segala amalannya akan sia-sia belaka dan di akhirat dia tidak akan aman dari siksaan Allah. Ini sebagaimana firman Allah : Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah yang mendapat keamanan dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk. (Al-An’am : 82). Nota berikut insya Allah tentang : Pengertian Tauhid.



3. Hijrah : Hijrah terbagi dua, iaitu : 1. Hijrah Hissiyah (Hijrah Fizikal) ; 2. Hijrah Ma’nawiyah (Hijrah Sikap). Hijrah Fisikal seperti perpindahan seseorang dari satu negeri ke negeri lain. Hijrah Ma’nawiyah pula seperti perpindahan sikap dari pemalas kepada rajin, dari pengotor kepada pembersih, dari bergelumang maksiat kepada taat kepada Allah, dari syirik kepada Tauhid, dari bid’ah kepada mengikuti sunnah Rasulullah SAW dan lain-lain. Hijrah Maknawiyah adalah lebih afdhal berbanding Hijrah Hissiyah. Nabi SAW bersabda : أَفَضَلُ الْمُهَاجِرِيْنَ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللهُ عَنْهُ ( رواه مسلم ) : Sebaik-baik orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah ( HR Muslim )



4. Jihad Fii Sabilillah : Jihad menurut bahasa : bersungguh-sungguh. Fii : di dalam. Sabilillah : Jalan Allah. Jadi makna lengkapnya : Bersungguh-sungguh di dalam jalan Allah. Jihad tidak terbatas hanya berperang melawan orang kafir di medan perang. Makna jihad sangat luas. Segala kesungguhan dapat digolongkan ke dalam jihad. Hanya saja kata jihad sentiasa dikaitkan dengan Fii Sabilillah (Dalam Jalan Allah). Fii Sabilillah pula menurut istilah agama ialah ( الطَّرِيْقُ المُوْصِلُ إِلَى مَرْضَاةِ اللهِ ) : Segala jalan yang boleh membawa kita kepada keredhaan Allah. Contoh : Kesungguhan bangun malam untuk tahajjud dan witir semata-mata mengharap redha Allah, juga dapat digolongkan ke dalam Jihad Fii Sabilillah. Demikian juga : Mencari rezeki yang halal untuk menyara isteri dan anak-anak ; menghadirkan diri ke majlis-majlis ilmu ; menjaga dan berbuat ihsan kepada ibu bapa yang sudah lanjut usia dan lain-lain.



5. Kesimpulan : Untuk mendapat Rahmat Allah dan selanjutnya layak masuk syurga ada tiga syaratnya, iaitu : Iman, Hijrah dan Jihad Fii Sabilillah sebagaimana penjelasan ringkas diatas. Sungguh banyak dalam masyarakat kita mereka yang mengaku beriman, tetapi masih lagi mengamalkan amalan-amalan syirik seperti percaya ramalan bomoh, memakai tangkal dan lain-lain. Iman seperti ini akan sia-sia jika sampai mati tidak segera taubat nasuha kepada Allah. Selanjutnya iman tersebut mesti diikuti dengan Hijrah dan Hijrah paling utama ialah Hijrah Maknawiyah atau Hijrah sikap iaitu dengan meninggalkan sifat buruk kepada sifat terpuji. Kedua-dua syarat diatas mustahil dicapai tanpa Jihad Fii Sabilillah iaitu kesungguhan untuk mendapat keredhaan Allah. Semoga kita semua diberi Taufiq oleh Allah untuk memiliki ketiga-tiga syarat tersebut dalam ayat diatas, Amin Ya Rabbal A’alamin.

1 comment:

  1. Amin.. Semoga kita terus dipelihara dan diberikan petunjuk olehNya...

    ReplyDelete