Friday 9 December 2011

Catatan Perjalanan (Siri 8)


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Assalammualaikum Wr Wb serta salam sejehtera untuk semua Anak Mersing serta kenalan maya mukabuku yang saya sanjungi sekelian. Berjumpa kita di hari yang penuh berkat, tahun baru hijrah 1433 dan harapan saya semuga apa jua impian yang baik buat anda semua akan menjadi kenyataan, amin.


Sebelum saya berangkat ke Dubai pada bulan April 1999, saya sempat menyambut Hari Raya Aidil Adha dan bercadang untuk bersama abang yang tinggal di Jeli Kelantan. Kebetulan raya ke2nya ada jemputan perkahwinan saudara di sana. Sehari sebelum hari raya saya memulakan perjalanan memandu seorang diri diwaktu pagi ke Kelantan, cadangannya melalui Kuantan, Gua Musang dan kembali ke Kuala Lumpur melalui Perak. (Ingatan dari arwah ibu (Al Fatihah) sekiranya ingin memulakan perjalanan jauh berangkatlah di waktu pagi) Boleh sahaja menaiki kapalterbang, tetapi kelebihan memandu kita boleh melihat keadaan sekeliling dan ada kalanya saya akan berhenti untuk mengambil gambar atau video. Bunyinya macam gila... tetapi perlu di mulai dengan doa moga Allah pelihara dan selamatkan perjalanan untuk tujuan yang baik insyaAllah kekuatan dalaman itu akan datang sendiri. Teringat salah satu dari artikal mingguan En Eyman Hykal (Mengapa terus menunggu), saya tiada masalah walau pun memandu seorang diri, selain dari memberi tumpuan kepada pemanduan boleh melihat alam sekeliling, zikir, masa terbaik untuk mendengar ceramah melalui CD, atau lagu kegemaran (untuk santai) atau hanya mahukan kedamaian dalam kesunyian. Enam atau tujuh jam perjalanan bukanlah jangkamasa yang pendek, perlu pengisian yang sepatutnya.

Alhamdulillah selamat sampai serta di sambut dengan meriah oleh abang dan keluarga kakak ipar. Oleh kerana abang tinggal di rumah ibu mertuanya (rumah penuh dengan ahli keluarganya ) di Tendong, Pasir Putih, maka saya bercadang untuk tinggal di hotel sahaja sambil menjelajah bandar kota Bharu dan tinggal dekat dengan masjid di tengah bandar. Keesokan harinya hanya berjalan sahaja dan solat raya Aidil Ahda di situ dan kebetulan Sultan dan Sultanah Kelantan juga ada bersama, gembira sungguh rasanya. Setelah itu saya ke rumah ibu mertua abang. Sejak ayah dan ibu tiada abang jarang balik melawat kami di Mersing, saya ada mengusik kakak ipar 'apasallah abang saya ni dah jarang balik kampung, apa agaknya yang k.Yah buat ya? Kakak ipar saya berkata; 'tak ikat pun kaki dia bebas nak kemana-mana'! Saya tersenyum sahaja kerana mengetahui yang abang saya ini memang penyayang orangnya dan padanya keluarga di dahulukan... Apa yang saya hendak kongsikan di sini semasa abang membawa saya menziarahi saudara mara dan rakananya, almaklumlah semua orang dapat daging korban, yang mengkagumkan setiap rumah yang saya datangi akan di hidangkan dengan daging tetapi semuanya berlainan cara masakannya. Wow! pada saya itu sesuatu yang hebat. Pada keesokkan harinya saya menghadiri majlis perkhawinan tersebut dan terus pulang ke Kuala lumpur melalui Gerik Perak. Saya sebenarnya takut melalui jambatan panjang Tasik Temenggor tu, tak toleh kiri kanan pun, laju jer tapi bila telah melepasinya berhenti untuk abik gambar, sebabnya takut tengok air mengalir kat bawah tu!


Saya juga sempat ke Johor Bahru dua kali sebelum berangkat ke Dubai. Persiapkan semuanya, memastikan apa jua bil pembayarannya terkini serta pembayaran cek tertunda, cuci rumah, beritau pihak pengurusan kondo, saudara mara dan sahabat handai terdekat mengenai pemergian sebab tidak tahu bila saya akan kembali lagi. Perkara penting lainnya bawa apa jua makanan Malaysia yang berkemungkinan tidak terdapat di sana contoh belacan. ( tidak berselera makan tanpanya )


Alhamdulillah akhirnya pada 4hb April 1999 saya selamat sampai ke Dubai dan kami tinggal di salah sebuah hotel apartment terkenal di sana, tetapi sebab ianya terletak di kawasan sibuk perniagaan saya tidak merasakan seperti tinggal di negara Arab kerana ramai orang asing yang bekerja di sana. Ianya juga terletak berhadapan dengan Emirate Tower. (buat masa itu, itulah bangunan tertinggi di Dubai) Tempat tersebut juga tidak jauh dari pantai di mana terletaknya hotel 6 bintang Burj Al Arab. Seperti biasa di mana juga saya tinggal saya akan maklumkan (daftar diri) kehadiran saya di negara tersebut kepada kedutaan kita di mana sekiranya berlaku perkara yang tidak di ingini kedutaan boleh bertindak membantu kita atau sebaliknya. Ianya juga tempat untuk bertukar maklumat serta mengetahui siapa orang-orang Malaysia yang tinggal di sana. (ada juga kawan makan sambal belacan) Duta kita selalunya akan berada di ibunegara sesebuah negara itu dan di Dubai kita hanya mempunyai pesuruhjaya tinggi sahaja sementara duta kita berada di Abu Dhabi, Emirates Arab Bersatu.


Salah seorang yang gembira dengan perkhawinan ini adalah bapa mertua saya, alhamdulillah beliau juga datang ke Dubai dan melawat saya, terharu dan dengan kunjungan dan keperihatinannya. Pada pertengahan bulan April saya mengikuti suami ke Kuwait selama 2 minggu kerana urusan kerjanya tetapi bagi saya peluang terbaik untuk bertemu dengan kenalan di sana dan bertanya khabar dari apa yang berlaku semasa da selepas Perang Telok sehingga masa itu. Alhamdulillah dapat berjumpa kebanyakkan dari mereka serta mengikuti program yang ada pada masa itu. Salah satu perkara yang tidak dapat lupakan semasa tinggal di hotel ini adalah Ayam Tikkanya yang paling lazat dan tidak pernah merasa seperti itu lagi sehingga kini, mashaAllah. Pada akhir bulan April saya juga ada mengikut suami ke Abu Dhabi (balik hari, satu setengah jam memandu pada satu hala sahaja) atas urusan kerjanya. Bagi saya negeri Dubai lebih maju dari ibukotanya. Emeria Arab Bersatu (UAE - United Arab Emirates) terbahagi kepada tujuh buah negeri yang berlainan pemerintahannya atau dana untuk pembangunan sesebuah negeri itu mestilah berpunca dari tempatnya sendiri. Apa yang menarik perhatian dan mengkagumkan saya adalah warna pasir di setiap negeri adalah berlainan dan itu menjadi salah satu dari cenderahati yang patut di mikili oleh para pelancung yang melawat negara ini. Semasa dalam perjalanan ke Abu Dhabi juga saya melihat ada tempat-tempat tertentu di sepanjang pantai yang di khaskan hanya untuk wanita sahaja untuk masa dan hari tertentu dan saya dapati ianya adalah idea yang baik. Saya dapati masyarakat UAE lebih peramah dari masyarakat negara Kuwait. Mereka juga memiliki serta mengendalikan perniagaan masing-masing. Pada awal bulan Mei saya mengikut suami seperti biasa atas urusan kerjanya ke Doha, ibunegara Qatar. Negara kecil ditengah padang pasir yang maju juga, kebiasaannya tempat persinggahan sementara penerbangan dari negara-negara Asia ke Timur Tengah.


Alhamdulillah, tanpa di sangka-sangka saya didapati mengandung pada minggu ke tiga bulan Mei dan hampir tujuh minggu. Saya tidak mengetahuinya kerana tiada merasa tanda-tanda kehamilan hanya tiada kehadiran haid sahaja hampir dua bulan. Ianya adalah berita yang gembira dan mendebarkan buat saya kerana ia merupakan kali pertama dalam hidup setelah dua kali keguguran (kedua-duanya kurang dari 2 bulan) semasa perkahwinan pertama dahulu. (9 tahun yang lalu) Bagaimanapun menurut doktor sakitpuan yang saya temui saya perlu di letakkan di bawah pengawasan rapi kerana ada sejarah dua kali keguguran sebelum ini. Oleh itu saya perlu mengambil suntikan (sudahlah takut jarum! auchhh!!... ayo pa!... ayo ma!... lebih kurang tujuh kali) dan pil hormon dalam masa sebulan. Kebiasaannya orang muntah-muntah pagi dan tiga bulan pertama tetapi bagi saya pula bulan ke empat , lima dan enam berlaku begitu ditambah teruk dengan merasa pahit di lidah saya. Minum air kosong pun tidak sedap. Nasi tidak di masak langsung kerana setiap kali terhidu baunya akan muntah. Rupa-rupanya budak ini tidak suka makan nasi sehinggalah saya menghantarnya ke sekolah swasta yang sessi persekolahannya tamat jam tiga petang, bermakna dia perlu mengambil makan tengahari di sekolah yang menghidangkan nasi sebagai makanan utama dan dia terpaska memakannya iaitu pada umur lapan tahun. Satu lagi kemungkinan pembawaan anak yang hebat untuk saya hadapi adalah tidak sukakan suami, kalau boleh tidak mahu dia sentuh saya pun! alahai!... macammana ni ya! Allah sahajalh yang mengetahui bila memaksa diri membuat sesuatu yang tidak disukai.... Gembiranya hati sekiranya dia perlu ke luar negara dan selalu perlu berbuat demikian. (Poor guy! sudahlah saya tidak masak di rumah sebab tidak boleh menghidu bau nasi)


Dalam masa yang sama saya ada mempunyai seorang kawan dari Malaysia yang berada di Dubai dan masakan asam pedasnya sedappp sekali. Saya sudah mendapatkan resepi serta melihat bagaimana dia melakukannya dan cuba berbuat demikian tetapi masakan saya tetap tidak sesedap masakannya, tidaklh di ketahui apa puncanya, mungkin terlupa untuk menguntum senyuman atau menitiskan setitik kasih sayang ke dalamnya semasa memasak!... Kami juga berkawan baik dengan isteri pesuruhjaya tinggi di Dubai serta selalu juga ke kediaman beliau ( amboiii!... bestnya rumah dia kat Dubai tu!- macam jelez jer bunyinya! taklah! cuma gembira jer untuk dia ) Seperti gambar yang tertera di atas. Saya juga sertakan gambar semasa mengandung tujuh bulan dengan baju jubah kegemaran saya yang saya pakai untuk gambar profile FB tu, hehehe...sebab tu nampak muda jer! Ngelat kan!... Pada akhir bulan tujuh dua orang dari kenalan baik saya singgah di Dubai untuk beberapa hari sebelum melancung ke London dan tinggal bersama saya. Saya fikir semua orang tahu bahawa Dubai juga adalah syurga membelibelah. Seperti biasa itulah kemahiran orang perempuan, saya juga tumpang sekaki, menyibuk membelibelah. Oleh kerana selalu sangat orang Malaysia ke Dubai membelibelah peniaga di sana bukan sahaja pandai bercakap Melayu bila ternampak kita orang Malaysia, sekiranya hendak menempah baju semada baju kurung atau melayu boleh siap dalam masa duapuluh empat jam sahaja dengan harga biasa. Pramugari tidak perlu ceritalah mereka juga menjadi agen menjual kain. Pada malam tertentu restoran di hotel tempat saya tinggal itu ada menghidangkan 'malam makanan laut' memang rezeki mereka, saya menjemput mereka menikmatinya, sedapnyaaa... agaknya makan bersama jadi lebih berkatnya. Saya pula tidak boleh makan banyak sangat kerana 'tidak cukup tempat'. Bila usia kehamilan semakin menghampiri kelahiran para ibu hanya boleh makan sedikit sahaja tetapi kerap. Walaupun begitu seronok makan dan bersembang bersama. (Saya yang selalu keseorangan) Saya juga ada berkenalan dengan pasangan dari Johor Bahru yang persahabatan kami masih kekal hingga ke hari ini, alhamdulillah. Adakalanya saya merasakan keakraban kami melebihi dari saudara mara sendiri. Setiap tahun apabila ke Johor Bahru saya akan singgah ke banglo mereka yang besar, cantik, tersergam indah di Stulang Laut itu.


Apa lagi yang saya lakukan semasa di sana, di samping selalu tinggal berseorangan itu. Saya mula berjinak-jinak dengan buku dengan menjadi ahli di salah sebuah perpustakaan di sana. Di samping dapat meminjam buku saya juga boleh menggunakan internet disana. (mengapa saya tidak meminta di belikan satu komputer riba pada masa itu tidaklah saya ketahui!) Kekaguman saya di dalam hidup adalah mengenai tubuh kita serta apa jua yang berkaitan dengannya - dari anatomi, apa sistem, peranannya, bagaimana kita mendapat penyakit, cara mengelakkan, mengubati dan macam-macam lagi selain dari alam semulajadi ( tidak tahu apa istilah yang sesuai kerana alam tidak terjadi dengan sendirinya ) Saya mula membaca ensaiklopedia mengenai tubuh - apa yang berlaku terutamanya apabila mengandung. Baiklah sudah berjumpa kawan, membelibelah, menonton tv, membaca Al Quran, berzikir, membaca buku, memcuba resepi baru, apa lagi yang saya boleh buat? Ok! Menari!...(seorang diri dgn perut besar tu! - takpalah 'just be happy'!... Good for the baby development) Pada masa itu lagu yang sedang popular adalah 'Livin La Vida Loca'(LLVL) oleh Ricky Martin. Bayangkan apa yang berlaku!, sejak dari tadika lagi budak ini selalu terpilih sebagai penari kerana gurunya berkata dia boleh menari secara semulajadi. Berilah apa juga rentak dia akan tahu bagaimana mahu mengayakannya. Oleh kerana saya tidak mahu dia menjadi seorang penari maka tidak menyokongnya untuk ke arah itu. Sesuatu yang tidak di sangka juga berlaku lebih kurang tiga bulan yang lalu semasa dia mencari saya di gym serta mereka membenarkan dia masuk. Saya masih mengikuti kelas Zumba (menari sambil bersenam) Dia memang sudah lama mahu mengikuti kelas tersebut tetapi di khususkan untuk golongan dewasa sahaja tetapi macam biasalah dia mengikutinya bersama saya. Kebetulan selepas itu jurulatih gym saya memainkan lagu Ricky Martin itu (LLVL) Kami sangat gembira menari bersama kerana bagi saya ianya semacam satu keajiban (secara kebetulan) kerana saya menari lagu tersebut semasa mengandungkannya dan 12 tahun selepasnya kami menari bersama! Wow!...


Untuk pengetahuan semua rakyat Malaysia (perempuan) yang berkahwin dengan orang asing dan tinggal di luar negara, maka anak yang lahir di negara tersebut akan mengikut warganegara bapanya. Saya yang mahukan anak mendapat taraf warga negara Malaysia mesti melahirkan dia di Malaysia. Setelah berbincang dengan suami dan alhamdulillah beliau bersetuju maka saya akan melahirkan bayi ini di Malaysia. Ianya hanya boleh di lakukan setelah kandungan saya berusia 7 bulan. Setakat ini semuanya berjalan lancar cuma doktor berkata kedudukan bayi saya dalam keadaan songsang tetapi selalunya akan kembali kedudukan yang sepatutnya apabila hendk bersalin nanti. Doktor juga berkata saya boleh melakukan perjalanan jauh itu. Alhamdulillah saya akan pulang ke Malaysia yeahhh! laa la la la la la la.... (bermakna saya tidak perlu bersamanya... - saya tahu teruk sangat bunyinya tapi itulah perasaan saya pada masa itu) Setelah tiba hari yang di tentukan pada akhir bulan Okt 1999 saya selamat kembali ke tanahair, alhamdulillah. Salah seorang dari kawan saya yang singgah di Dubai menyambut saya di lapanganterbang dan terus membawa saya untuk di periksa oleh doktor yang juga jiran saya di Pantai Hillpark yang kebetulan bertugas pada malam itu di KLIA. Alhamdulillah2x gembiranya, terasa sangat di hargai. Semuanya dalam keadaan baik kecuali kaki saya yang agak bengkak sedikit kerana tidak banyak bergerak sepanjang 6 jam penerbangan tersebut.


Semasa 7 bulan pertama saya masih kelihatan 'cute' ( prasan ) lagi tetapi 2 bulan terakhir itu kandungan saya membesar dengan cepat sekali mashaAllah. Bayangkan berat saya cuma 56kg sahaja semasa mula mengandung dan sehari sebelum bersalin ianya adalah 76kg - wow! selalunya apabila bayi di lahirkan akan kehilangan 10kg, bayangkan banyaknya kerja saya untuk kembali, kalau berjaya kepada berat asal. ( teruknya! kenapalah fikir tentang diri sendiri sahaja bukankah Allah akan mengurniakan seorang insan lahir ke dunia ini!... ) Setelah saya berada di Malaysia, salah seorang dari mak cik saya mencadangkan pergi berjumpa seorang tukang urut supaya kedudukan bayi boleh diperbetulkan, buat jugalah tapi selepas itu ia berpusing semula. Saya membuat pemerikasaan di hospital swasta dan doktor sakitpuan yang merawat saya mengatakan yang saya mempunyai situasi 'placenta previa' dan cara selamat mengatasinya adalah dengan bersalin melalui pembedahan. Saya tergaman, merasa takut dan tidak dapat berkata apa-apa pada masa itu, seperti biasa saya keseorangan... Pulang ke rumah dan cuba fikir apa yang patut saya lakukan. Baiklah setelah menarik nafas panjang-panjang, tenangkan fikiran, saya perlu mencari maklumat semuanya tentang perkara tersebut, apabila berjumpa dengan doktor saya perlu persiapkan apa juga persoalan yang ada, berjumpa dengan orang yang pernah mengalaminya dan yang penting sekali perlu kepada pendapat ke dua. Saya membuat temujanji dengan doktor pakar dihospital lain di Kuala Lumpur. Doktor ke 2 mengatakan boleh mencuba untuk kelahiran normal tetapi sebaik-baiknya melalui pembedahan. Mendengar hasil penilaian tersebut saya mengambil keputusan untuk bersalin secara pembedadahan sahaja. Saya juga bersedia dengan apa perubatan pilihan yang ada untuk mengubati luka dari pembedahan itu nanti. Saya juga perlu mencari seseorang untuk membantu saya selepas kembali dari hospital.


Doktor yang merawat saya mengatakan sekiranya setitik darah yang tumpah saya perlu ke hospital segera dan bilik saya telah di sediakan bila-bila masa sahaja. Apabila mendengar kenyatan itu saya sedari bahawa situasi saya sangat merbahaya. Saya juga mendapat tahu isteri pertama arwah ayah saya ( Al Fatihah untuk ke duanya ) meninggal semasa melahirkan kakak saya atas sebab yang sama, tumpah darah dan tidak dapat diselamatkan. Alhamdulillah saya masih boleh membuat kerja-kerja rumah seperti biasa dan sehari sebelum ke hospital saya masih sempat membersihkan rumah dengan mengemopnya alhamdulillah. Sehari sebelum pembedahan saya juga berpeluang berjumpa dengan pakar bius dan bertanyakan banyak soalan kepadanya mengenai situasi saya, seperti biasa saya akan kurang sedikit perasaan takut sekiranya saya lebih banyak mengetahui apa yang akan berlaku terhadap saya. Saya memilih untuk di bius seluruh badan walaupun sebenarnya boleh hanya bahagian yang di bedah sahaja. Saya tidak mahu tahu apa yang akan berlaku semasa pembedahan tersebut. Sekiranya anda ( lelaki/Wanita ) seorang yang berani sila minta di bius di tempat yang akan di bedah sahaja kerana ianya akan lebih cepat proses pemulihannya. Saya ada juga menghubungi Dr Man dan bertanya sekiranya dia boleh membuat pembedahan dengan cara yang sama untuk bersalin tetapi dia menolak permintaan saya. eesokkan harinya tepat jam 9.00 pagi saya telah berada di bilik pembedahan dan bersedia untuk di bedah. Saya tidak sempat untuk bersedih kerana sebelum masuk kebilik pembedahan tiada siapa yang mengiringi saya, seperti biasa hanya Allah bersama saya. Adakah saya ada mempunyai seorang insan bernama suami? Ya, tetapi urusan kerjanya lebih penting dan hanya akan hadir 3 hari selepas itu. Ada kemungkinan saya boleh menghadapi maut semasa proses tersebut tetapi tetap urusan lainnya lebih penting.... Alhamdulillah akhirnya pada jam 9.26 pagi saya selamat melahirkan seorang bayi perempuan. Alhamdulillah semasa pembedahan tersebut ada seorang lagi doktor lelaki beragama Islam yang kemudiannya mengatakan bahawa bayi saya telah di azan dan di iqamatkan segera selepas di keluarkan. Ini kerana doktor sakitpuan yang membedah saya adalah seorang wanita India dan begitu juga doktor pakar bius, seorang lelaki India. Sesampainya saya kebilik, saya lihat 2 pasangan kawan saya telah bersedia menunggu dan seorang darnya seorang Ustad dan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa dan terus segera menazan dan iqamah bayi saya. Saya masih dalam kaadaan yang tidak berapa sedar dengan pelbagai wayar yang di lekatkan di badan saya. Saya tidak tahu berapa lama saya tertidur dan setelah terjaga saya melihat sahabat baik saya Nurfeta ada di sisi dengan senyuman manisnya dan mengatakan semuanya dalam keadaan yang baik. (Itu saat yang sangat bermakna bagi saya) Saya meminta dia membuka balutan bayi untuk melihat keseluruhan anggotanya sambil dia mengira kesemua tangan dan kaki anak saya. Bayinya berwarna merah dengan rambut serta keningnya yang jelas berwarna kehitamanan. Rambut dan kukunya telah panjang. Hmmm... sepatutnya keluar awal sedikit!


Hari ke 2nya kedua-dua kawan saya ada melawat juga tidak ketinggalan sahabat baik saya. Salah seorang dari kawan saya menemani saya di hospital dan mengurut atau memegang sambil membaca ayat-ayat suci dan saya merasa badan saya ringan serta bertenaga sedikit. Saya sangat terhutang budi kepadanya dan moga Allah sahajalah yang membalas jasabaiknya kerana dia membuatnya tanpa saya memintanya. Hari ke 2 saya cuba bangun dan di bantu oleh Nurfeta tetapi tidak berjaya dan saya mengatakan kepadanya supaya membiarkan saya mencuba sendiri mengikut kemampuan saya kerana merasa sangat sakit di tempat luka dari pembedadahan tersebut. Hari ke 3nya apabila semuanya telah di tanggalkan dari badan saya, saya berjaya bangun dan berjalan sendiri ke bilik air. Bayi mendapat deman kuning dan terpaksa di masukkan ke inkubater. Pertama kali melihatnya dalam bekas tersebut sambil tidor menunjang betul-betul nampak seperti 'ulat bulu' sahaja. Doktor menasihatkan saya mula menyusukannya. Saya dengan susah payah kerana masih berasa sangat sakit terpaksa menaiki kerusi roda ke bilik bayi untuk menyusukannya. Saya perlu memasukkannya ke dalam botol kerana tidak mahu bayi keluar dari tempat tersebut. Pertama kali membuatnya saya hanya mendapat beberapa titik sahaja setelah 20 minit mencuba. Alhamdulillah senyuman manis dan kata-kata perangsang dari jururawat di bilik tersebut menyenangkan saya, selepas itu lebih mudah sedikit dan memperolahi lebih banyak air susu. Alhamdulillah sekali lagi, dengan izin Allah saya dapat menyusukannya 2 tahun penuh. Hari ke 2 saya mendapat panggilan dari suami dan bila dia bertanyakan keadaan saya, saya mengatakan 'hey! guess what, am still alive'. (dalam sakit-sakit pun masih sempat lagi bercakap macam tu!... ) Dia juga bertanya apakah warna anaknya? Wow! what a question!... Setelah hari ke 5 saya boleh pulang ke rumah dan keadaan bayi juga bertambah baik. Dia tinggal di hotel, hanya menghantar saya pulang dan alhamdulillah kawan juga bekas petugas Taska saya telah bersedia berada di rumah membantu saya untuk 2 bulan ini.


Nampaknya hanya setakat ini sahajalah kisah saya pada kali ini dan di siri akan datang saya akan menyambung kambali apa yang berlaku seterusnya. Terima kasih kerana bersama meniti laluan perjalanan hidup saya. Sekian, Wassalam.

1 comment:

  1. Tabahnya Suzliana melahirkan bayi tanpa kehadiran org tersayang....aperpon kehadiran anak membuatkan kita lupa kesakitan yang kita alami sebelumnya.. betul tak.. :)

    ReplyDelete