Thursday 29 December 2011

Catatan Perjalanan (Siri 10)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani, Selawat dan Salam Atas Junjungan Kita Nabi Muhamad SAW. Assalammualaikum Wr Wb serta Salam Sejehtera. Menemui para pembaca Catatan Perjalanan Mukabuku Anak Mersing yang ingin saya kalungi dengan bisikan doa moga anda semua sentiasa di Rahmati serta di Berkati olehNya.

Saya ingin mengfocuskan catatan kali ini kepada apa yang berlaku kepada Mariam semasa memembusi dan merintasi umur dua dan tiga tahunnya. Apa yang saya dapati dari catatan saya adalah perkembangan tumbesaran terkini apa yang berlaku kepadanya. Alhamdulillah saya sangat bersyukur kerana dapat melihat, mengikuti, menyediakan persekitaran, menyelia dan seterusnya membantu dia dalam proses tumbesarannya dengan berbekalkan sedikit pengetahuan dan pengalaman yang di tempuhi sebelum ini. Lautan terima kasih yang tidak bertepi ingin saya tujukan kepada ayah Mariam yang bekerja keras mencukupkan keperluan kami sehingga saya boleh meneumpukan sepenuh perhatian kepada penjagaan Mariam dan rumahtangga. Hanya Allah sahajalah yang layak membalas atas segala hasil usahanya. Saya juga sangat gembira kerana dapat tinggal di Malaysia sahaja. Ini berikutan hampir setiap bulan pada tahun 20001 itu dia akan datang ke sini atas urusan kerjanya.


Catatan di dairi saya bukan sahaja merangkumi peristiwa yang berlaku kepada kami berdua tetapi juga dari bila setiap giginya tumbuh, apa makanan yang dia ambil, apa reaksinya dan apakah langkah seterusnya. Saya ingin menoleh ke belakang sedikit dengan menyatakan bahawa sistem penghadaman seorang bayi belum bersedia berfungsi sepenuhnya hinggalah ia berusia tiga bulan dan keatas. Pada permulaan kita memperkenalkan makanan pepejal kepada bayi perlulah dalam bentuk cecair cair, pekat sedikit dan seterusnya boleh dalam bentuk makanan yang lembut. Setiap makanan yang diperkenalkan mestilah satu jenis sahaja pada setiap masa contohnya bubur nasi, bubur nasi dan lobak merah, bubur nasi, lobak merah dan isi ikan rebus di selang selikan untuk dua atau tiga hari jaraknya dan begitulah seterusnya kerana ia akan memudahkan kita mengesan keserasian makanan tersebut kepadanya. Sebenarnya bayi mempunyai keperluan nutrisi yang mencukupi pada enam bulan pertama itu di tambah lagi dengan jadual penyususan yang berterusan. Begitu juga semasa kita memperkenalkan buah-buahan atau sayur-sayuran. Sabaik-baiknya makanan bayi kita sediakan sendiri, dengan sedikit kreativiti serta ujikaji dan dari kepelbagaian rasa, warna, tahap kekenyalan ianya akan menjadi hasil yang sangat menarik. Permainan yang mudah juga akan menarik perhatian bayi atau toddler (anak yang dalam tahap bertatih) menikmati makanannya.

Bagi ibu yang tidak mempunyai pembantu seperti saya, (tiada keperluan mendesak - hanya kami berdua, tinggal di kondo sahaja dan yang paling penting kita sebagai ibulah yang patut menjaga, memelihara dan mendidik anak sebagaimana acuan yang kita mahu - walaupun atas segala kekurangan dan kelemahan yang ada) dapur merupakan tempat pembelajaran pertama yang paling baik untuk anak. Satu perkara yang paling penting dalam pembentukan lisan atau percakapan, pastikan kita bercakap dalam bahasa yang betul (bukan bahasa pelat). Ini adalah masa terbaik juga untuk memperkenalkan bahasa ke dua atau ketiga kepada kanak-kanak. Situasi sempurna di mana ibu bertutur dalam satu bahasa dan ayah bertutur dalam bahasa yang lain pada setiap masa sejak dari lahir. Salah satu pengalaman saya bersama seorang rakan semasa tinggal di Kuwait dahulu adalah Suzen seorang ibu berbangsa Jerman, hanya bercakap Jerman kepada anak perempuannya sejak dari lahir, ayah berbangsa Arab dan bercakap Arab sahaja sejak dari anak lahir, tinggal bersama datuk dan nenek yang bertutur bahasa Arab setiap masa. Suzen pula mempunyai lingkungan rakan-rakan yang berbahasa Inggeris setiap kali bertemu atau bercakap melalui telifon. Hasilnya mashaAllah, pada umur tiga tahun anak tersebut fasih dan memahami tiga bahasa dalam satu masa tanpa ada kekeliruan dalam mempertuturkan ke tiga-tiga bahasa tersebut. Pada saya diri KITA adalah salah satu dari keajaiban ciptaan Allah yang sangat unik, saya sangat berbesar hati sekiranya ada ibubapa muda yang prihatin dan mahu mencuba penemuan ini. Oleh itu sentiasa libatkan anak-anak pada setiap masa semasa kita membuat penyediaan semada makanan, membersihkan, melipat, mengosok pakaian, membersih, mengemas rumah atau semasa kita menyiapkan diri untuk apa jua keadaan - semuanya ini adalah latihan kemahiran hidup asas yang anak-anak kita pelajari secara tidak langsung dan ianya penting untuk kelangusungan hidup kita bersama. Pada masa yang sama juga pastikan kita sentiasa berinteraksi dengan anak-anak apakah yang kita lakukan, secara tidak langsung kita memperkenalkan perkataan dan membentuk ayat kepadanya dan bila dia mula bercakap dia akan mempunyai kosa kata yang memcukupi untuk menyatakan apa jua permintaan atau maklumat yang dia perlukan.

Oleh kerana Mariam hanya seorang sahaja dan saya mahu dia belajar berkawan maka seawal berumur satu tahun saya telah mendaftarkannya kesebuah kumpulan bermain di Bangsar seminggu sekali berserta dengan ibunya. Apabila hadir petugas kumpulan ini akan menyediakan pelbagai aktiviti untuk tiga jam berikutnya. Selalunya Mariam gembira dan keletihan apabila kembali dari tempat ini. Saya juga menghantarnya ke rumah jiran yang mempunyai anak yang sebaya seminggu sekali semasa saya mulai menghadiri kelas tafseer Dr Abdullah Yasin pada sebelah pagi bermula pada bulan April. Sebelum seseorang anak bersedia memegang pencil kita perlu pastikan yang jari jemarinya telah boleh memegang dengan baik dan betul. Salah satu aktiviti yang sesuai adalah bermain dgn doh. Kita boleh membelinya dengan pelbagai bentuk dan warna tetapi sebaik-baiknya buat sendiri di rumah dengan bahan-bahan yang boleh di makan dan boleh di simpan di dalam peti sejuk. Kita boleh juga menyediakan pelbagai bentuk dari acu kuih mueh yang ada di rumah sahaja. Mariam juga mempunyai meja khas untuk dia melakukan apa jua aktiviti yang di perlukannya. Sebenarnya kita tidak perlu membelikan pelbagai permainan yang mahal-mahal kerana kanak-kanak boleh mempelbagaikan apa saja di persekitarannya dan dengan sedikit pertolongan dari orang dewasa untuk menjadikan sesuatu itu permainan yang menarik bagi seorang kanak-kanak.
Selain dari itu saya juga memperkenalkan permainan pasir untuknya. Saya dan seorang kawan pergi hingga ke Pulau Indah untuk mendapatkan pasir sebenar bagi aktiviti itu. Saya juga memperkenalkan kemahiran menggunakan basikal dan berenang kepadanya. Tetapi ada satu kemahiran yang memerlukan saya bekerja lebih sedikit dari biasa - bila dia belajar mengenai graviti maka hampir kesemua barang-barang yang ada di rumah juga 'terbang' ke bawah. Oleh kerana kami tinggal di rumah 'tenggek burung' dan di tingkat 12 maka melihat sesuatu jatuh ke bawah amatlah menarik bagi seorang kanak-kanak dari bagaimana sehelai kertas kepada sebuah buku, pencil, botol airnya, selimut, bantal dan sila bayangkan sendiri barang-barang yang lainnya. Saya perlu memberitahu pihak pengurusan dan berkenalan dengan petugas pencuci bangunan untuk mendapatkan semula apa jua barangan yang jatuh kebawah. Pada pertengahan tahun ini Mariam tidak memerlukan lagi kamar kecilnya dan boleh tidur bersama saya. Dia juga boleh memanggil ibu dan atok, memberus gigi sendiri, makan menggunakan tangan atau sudu garpu, memakai kasut dan membukanya semula, membuka dan menutup pintu dan sebagainya. Bagi memperkenalkan kepada dunia luar, membawa dia berjalan-jalan semada ke taman permainan, bunga, tasik, zoo atau ke pasar raya juga menjadi routin kami.


Akhirnya pada bulan November saya mendaftarkannya ke nurseri (Taman Asuhan Kanak-kanak) yang saya sukai. Ianya bersesuaian dengan apa yang saya mahukan untuk dia supaya dia boleh belajar dengan labih baik, lebih berketrampilan dengan nilai-nilai murni yang sejati. Dia juga meminati buku, boleh mengira 1-10 dan faham maknanya. Pada akhir tahun dia telah boleh menyebut 2 perkataan serta faham maknanya. Seperti biasa setiap tahun acara yang saya selalu lakukan walau pun sebelum berkahwin adalah menziarahi saudara mara dan sahabat handai walau di mana mereka berada lebih-lebih lagi dengan adanya Mariam supaya dia boleh berkenalan dengan mereka. Walaupun hanya kami berdua sahaja alhamdulillah saya telah melatih Mariam untuk duduk di kerusi khasnya semasa saya memandu. Sebaik-baiknya kerusi tersebut hendaklah di letakkan di tempat duduk belakang di sebelah kiri supaya mudah untuk kita menlihatnya.
Kebiasaannya saya akan mengambil kesempatan untuk bercuti juga. Selalunya dearah persinggahan saya adalah Labis Segamat, Endau, Mersing, Kota Tinggi, Johor Bahru, Batu Pahat, Muar dan Melaka sebelum kembali ke Kuala Lumpur. Pada tahun itu saya sangat berbesar hati memperkenalkan kepada Mariam apa itu laut, pantai, ombak serta persekitarannya di kawasan kampung saya sendiri iaitu Air Papan, pantai peranginan kegemaran saya sejak kecil. Pada bulan yang sama ada majlis perkahwinan anak Haji Rizal dan Hajjah Hapsah dan gambar yang ditunjukkan ini juga jelas kelihatan Anak Mersing popular kita Abdul Rahman Adam berserta isteri di majlis tersebut. (Hmmm.... nampak hebatlah masa tu Long)

Mariam masih meneruskan aktivitinya ke Taman Asuhan Kanak-kanak tersebut lima hari seminggu, tiga jam setiap sessi, merupakan bulan ketiga dan akan memasuki tahun ke tiga usianya, masih menyusu tetapi tidak sekerap sebelumnya dan saya telah merancang untuk tidak berbuat demikian pada pertengahan tahun ini. Latihan ke bilik air juga berjalan lancar. sebenarnya susu ibu hanya mempunyai nutrisi sepenuhnya hanya pada dua tahun pertama sahaja, seperti yang di sarankan dalam Islam. Pada awal tahun 20002 Kami bercuti ke Pulau Pangkor. Itu adalah pertama kalinya saya membawa Mariam menaiki bot besar untuk ke Pulau, saya masih ingat betapa kuat dan eratnya pegangan dia sepanjang perjalanan itu kerana dia belum pernah melihat air mengelilinginya sepanjang perjalanan. Kami pergi dengan seorang kawan yang juga pengasuh Mariam dan bekas petugas Taman Asuhan saya iaitu Saudari Salmah Mastor. Buat masa itu dia bekerja di Taman Asuhan yang lain dan hampir setiap hujung minggu akan menziarahi kami. Alhamdulillah percutian kami berjalan lancar dan sangat gembira berada di sana. Kami melawat tempat-tempat yang popular, bersejarah dan jangan lupa ole-ole yang semestinya dari Pulau Pangkor - ikan bilis, udang, sotong kering dan hasil laut yang berkaitan dengannya.

Pada masa ini sahabat saya dari ABIM Pn Jamiah Mukhtar telah tinggal di Mersing dan dari semasa kesemasa bila beliau kembali ke Kuala Lumpur pasti akan singgah ke rumah kami. Apabila anak saya Mariam dan Mariam Latifah bersama ramai orang akan mengatakan mereka seperti adik beradik. Ini mungkin dari imbasan seperti seiras tetapi tidak serupa dan di tambah lagi mereka rapat berdua. Sebagai anak kampung yang lahir di persisiran pantai saya tidak boleh menahan hati dari menikmati keindahan laut dan pantai, deruan angin serta suara ombak semuanya mengamit saya kearahnya. Kebiasaannya kami akan berehat atau bercuti setiap tiga atau empat bulan sekali. Destinasi kami seterusnya adalah Port Dickson bersama Nurwati Abdul Rahman (Al Fatihah),(anak saudara Abdul Rahman Adam, dua pupu saya) Setiap kali kami bercuti saya akan memilih siapa yang akan menjadi teman percutian kami. Selalunya saya akan memilih seseorang yang di senangi oleh kami berdua. Sekiranya kami tidak menemui sesiapa yang berkesempatan bercuti bersama itu tidak menjadi halangan kerana kami akan berkenalan dengan sesiapa yang bersesuaian semasa percutian nanti. Seperti biasa Nurwati peramah orangnya dan bersama dengannya membuatkan kami tidak sedar masa berlalu, terasanya begitu pantas sekali, ada-ada sahaja topik yang menjadi perbualan kami. Nurwati umpama pemberi maklumat kepada saya, tanyalah apa saja dia ada jawapannya atau akan memberitahu saya kemudiannya. Selain dari menikmati pemandangan yang indah, mencuba makanan baru, kami juga meneroka kawasan sekeliling. Untuk enam bulan pertama ini sepatutnya kami ke Baharin tetapi atas sebab-sebab yang tidak dapat di elakkan ianya di batalkan. Saya suka sahaja tinggal di Malaysia. Ayah Mariam juga tidak datang kerana tugasnya memerlukan dia berada di negara-negara di Timur Tengah.

Alhamdulillah pada pertengahan tahun itu, Mariam telah bercerai susu sepenuhnya dan boleh memberitahu untuk ke tandas. Pada pertengahan bulan Jun hingga akhir bulan Julai kami berada di Kuwait. Kali ini kami tinggal di salah sebuah rumah kenalan ayah Mariam yang pergi bercuti. Musim panas pada masa itu. Sepatutnya dia boleh berada di Kuwait sahaja tetapi dia tetap juga ada membuat perjalanan singkat dua atau tiga hari kerana tugasnya. Pada masa yang sama anak-anak dari isterinya yang lain datang menziarahi Mariam atau tinggal bersama untuk beberapa hari. Saya suka dengan prinsipnya yang anak-anak mesti tetap saling berkenalan dan rapat antara satu sama lain. Jadi hampir setiap hari Mariam akan di temani oleh adik beradiknya. Salah satu dari perkara yang di pelajari oleh Mariam semasa lawatana kali ini adalah tarian arab, menari atas meja dengan menghalakan rambutnyanya kekiri dan kekanan diiringi dengan muziknya sekali. Saya hanya melihat dari jauh, selagi tidak membahayakan tiada masalah, teruskan. Ini masa yang paling sesuai untuk saya membaca. Itulah masanya juga kami akan makan makanan di sana sahaja. Makanan kegemaran saya tentulah Roti Iran (bulat, besar dan sedap di makan begitu sahaja semasa masih panas-panas, sebab di masak dalam dapur tanah) Kami juga di temani oleh seorang pembantu dan pemandu sekiranya hendak kemana-mana. Pada musim panas tidak ramai orang yang berada di Kuwait dan tempat-tempat terbuka juga terhad dan selalunya kami akan menghabiskan masa di gedung membelibelah yang menyediakan tempat permainan dalam bangunan atau menziarahi sahabat handai yang berada di sana pada masa itu. Untuk ole-ole mestilah minyak wangi yang saya sediakan untuk abang-abang dan kakak-kakak sendiri atau ipar. Mereka sangat mengemarinya terutamanya abang saya yang berada di Melaka dan Muar. Untuk saya pula adalah buhul (kayu yang berbau wangi) untuk pewangi rumah atau minyak wangi yang popular pada masa itu (selalunya yang mengandungi oud - ianya kekal pada pakaian walaupun telah di cuci) Setiap kali ke sana juga saya akan membeli abaya (baju labuh hitam) yang terkini pada masa itu.


Alhamdulillah setelah sebulan setengah di sana kami kembali ketanah air. Mariam meneruskan persekolahannya di Taman Asuhan tersebut dan semakin bertambah baik dari segi perkembangan moto halus dan kasarnya (pergerakkan jari jemari serta penguasaan tubuh badan) dan pertuturannya. Pada masa itu Mariam boleh menguasai bahasa Inggeris dan bahasa Melayu (walau pun tidak sepenuhnya) Dia juga boleh menggunakan gunting dengan baik, suka menyanyi dan menari, menyertai apa jua aktiviti yang di anjurkan oleh pihak TASKA. Kini Ramadhan kembali lagi dan seterusnya Aildil Fitri di sambut meriah. Seperti kebiasaannya kami menziarahi saudara mara dan sahabat handai. Tempat percutian kami kali ini adalah di salah sebuah pusat peranginan Desaru, Kota Tinggi Johor. Ianya mempunyai taman tema air yang menarik. Kami sangat seronok di sana walaupun tanpa di temani oleh sesiapa pada kali ini disebabkan masih dalam cuti hari raya dan kebanyakkan kenalan kami masih bersama keluarga.
Pada akhir November adik saya mendapat anak perempuan, Nurdiya Mohd Saiful Azam nama di beri, alhamdulillah. Di sini di sertakan juga gambar Mariam bersama ibunya semasa berusia tiga tahun, kelihatannya lebih berkeyakinan mashaAllah.



Begitulah serba sedikit coretan saya pada kali ini buat tatapan para pembaca budiman sekelian. Harapan saya moga pengalaman yang sekelumit ini boleh di ambil pengajarannya atau memberi imspirasi kepada para ibu-ibu muda khususnya untuk mendidik anak-anak dengan lebih cemerlang lagi. Saya juga berbesar hati sekiranya ada tambahan maklumat atau pengalaman dari semua segi untuk tujuan tersebut. 'Sharing Is Caring, Caring Is Loving' Maafkan segala kesilapan atau kelemahan saya semasa menyediakan artikal ini kerana sesungguhnya segala yang baik itu hanyalah dari Allah. Untuk Catatan Perjalanan seterusnya kita akan lihat apakah yang berlaku kepada Mariam sebelum dia melangkah ke alam persekolahan rendah. Wallahualam.

2 comments:

  1. Pendidikan amat penting bagi seorang bayi... pengalaman menjaga anak anak adalah detik yang paling indah bagi insan yang bergelar ibu...alhamdulillah.. setiap coretan Suzliana.. membuatkan Azie tk sabar nak membacanya lagi... teruskan lg.. inshaallah..Azie sedia membacanya..hihi

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah, t.ksih Azie, mcmner dgn U lak, nk tau juga :)

    ReplyDelete