Friday 25 November 2011

Catatan Perjalanan (Siri 6)


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Assalammualaikum Wr Wb, menemui MukaBuku (Facebook) Anak Mersing serta kenalan yang saya sanjungi sekelian. Terima kasih kerana masih bersama saya menyusuri liku-liku hidup ini. Kali ini saya akan mengemukakan apa yang berlaku kepada saya serta aktiviti sampingan semasa di alam pekerjaan.

Sekembalinya ke tanahair pada akhir Sept 1990, selepas menziarahi saudara mara serta sahabat handai saya secara rasminya mengambilalih semula pengurusan (Taman Asuhan Kanak-kanak) TASKA At-Taqwa di Damansara Heights Kuala Lumpur dari kawan saya yang di amanahkan sebelum ini. Alhamdulillah beliau melaksanakannya dengan baik. Sedikit demi sedikit perubahan di mana yang perlu dilakukan serta menambahbaikkan terutamanya dalam penyediaan aktiviti untuk bayi dan kanak-kanak di semua peringkat. Kami mempunyai 4 jenis peringkat menurut umur iaitu bahagian bayi (bawah 1 tahun), bertatih,(1-2thn), kanak-kanak (2-4thn), dan kanak-kanak selepas tadika (6thn) Saya juga berusaha mengumpul wang seberapa yang boleh untuk memiliki kenderaan sendiri juga berhasrat untuk membuat bayaran muka lebih dari 10%.


Pada masa itu urusan untuk kepasar saya akan lakukan sendiri atau di temani oleh salah seorang dari rakan sekerja secara bergilir-gilir dengan menaiki bas atau ada masanya teksi.Seperti biasa kita akan membuang masa yang banyak kerana menggunakan kenderaan awam. Ada masanya untuk makan aiskrim pun berfikir dua kali kerana saya memerlukan setiap sen yang ada untuk mencapai impian saya itu. Pengalaman ini juga mengajar saya menghargai setiap sen wang yang di miliki - berbelanja hanya untuk yang perlu sahaja. Ianya bukan kali pertama dalam hidup saya kerana semasa selepas kematian kedua ibubapa saya pada umur belasan tahun juga,saya menghadapi situasi yang sama iaitu menanggung kedua adik beradik - perkara yang sama juga saya lakukan. Akhirnya setelah lapan bulan mengikat perut, hasil dari keringat dan airmata saya berjaya memiliki kereta baru buatan Malaysia Proton Saga dengan bayaran permulaan sebanyak RM10,000.00. Saya sangat berbangga dengan pencapaian tersebut walaupun ianya mungkin kecil dan lambat bagi orang lain.


Saya ingin menarik perhatian mengenai gambar di atas yang penuh bermakna bagi saya, bukan sahaja hanya ianya diambil oleh salah seorang ibu dari TASKA, ketika di rumahnya tepat pada masa RTM 1 menyiarkan temuramahnya dengan saya (juga kelihatan 2 orang anaknya yang di bawah jagaan kami). Semasa RTM TV1 menemuramah saya di tempat kerja,ada soalan cepumas yang di tanya oleh wartawan tersebut. Ianya berbunyi - Apakah harapan saya dalam bidang ini? Saya menyatakan yang saya ingin melihat kerjaya sebagai Pengasuh/Pendidik dalam bidang ini mendapat pengiktirafan
yang sewajarnya dari kerajaan serta kacamata masyarakat, ibubapa terutamanya. Mereka perlu mendapat latihan khusus, tanggagaji yang sepadan dangan kemahiran mereka supaya kerjaya ini di pandang sama tinggi seperti kerjaya laiannya contohnya seperti bidang perguruan. Di Australia kerajaan memberi peruntukan kewangan yang sewajarnya setiap tahun untuk bidang ini. Ini adalah kerana pembentukan minda, emosi, fizikal serta sahsiah seseorang insan itu berlaku dengan pesatnya semasa berumur di bawah 6 tahun atau sesetengah pendapat mengatakan di bawah 12 tahun. Itu impian saya hampir 20tahun yang lalu. Adakah kerajaan kita megiktiraf kerjaya di bidang ini sekarang? Yang paling di titikberatkan adalah guru-guru sahaja semada di peringkat sekolah rendah, menengah atau institusi pengajian tinggi. Semasa latihan pratikal di Perth saya berkesempatan mengikut satu kumpulan kanak-kanak berumur 5 tahun membuat lawatan ke Pejabat Pos di kawasan mereka. Perjalanannya mengambil masa lebih kurang 20 minit bagi satu hala. Semasa perjalanan pergi dan balik mereka sangat berdisplin walaupun ianya jauh serta berjalan di jalanraya sebenar, alhamdulillah musim luruh jadi cuacanya juga baik. Tugas mereka adalah mengumpul semua maklumat mengenai Pejabat Pos dan pengurusannya. Bayangkan kanak-kanak berumur 5 tahun begitu berkebolahan menemuramah petugas di pejabat itu dari pengurus hingga ke budak pejabat. Setiap orang mempunyai tugasnya yang tersendiri dan apabila balik ke TASKA mereka perlu berbincang dan seterusnya membentangkan kepada pengasuh. Saya sangat kagum dengan pendedahan dan kebolehan yang di miliki oleh kanak-kanak tersebut. Untuk sampai ketahap itu memerlukan seorang pengasuh/pendidik yang berwibawa. Ianya melibatkan proses pembelajaran sejak dari awal (bayi dan dari sudut pendidikan Islam ianya bermula dari memilih pasangan) lagi - adakah negara kita telah sampai ke tahap ini? Saya mengenengahkan persoalan ini kerana agak kecewa dengan keadaan ketika mengadakan sessi temuduga para petugas untuk kerjaya ini, walaupun ada lepasan universiti tetapi mereka tidak mempunyai ciri-ciri keterampilan yang sepatutnya walaupun di atas sijilnya mempunyai keputusan yang memberangsangkan.



Alhamdulillah walaupun tidak semudah yang di sangka untuk menjadi seeorang pendidik yang berdedikasi, saya mempunyai ramai juga pembantu yang berwibawa. Kami mempunyai hubungan yang erat. Ada yang rapat sehingga kini persahabatannya, MasyaAllah. Ianya diperkukuhkan lagi melalui perkenalan dengan ahli keluarga mereka. Siangnya rakan sekerja malamnya bagaikan adik beradik. Ini kerana kebanyakkan mereka berasal dari luar Kuala Lumpur. Setelah dipilih bekerja saya menyiapkan mereka dengan latihan sambil bekerja semada dari saya sendiri atau individu terpilih atau ada yang di hantar berkursus. Di samping itu saya juga mengikuti kursus dari semasa kesemasa. Saya juga membawa mereka bercuti bersama - ke pantai, ke dalam hutan, ke gunung, dalam bandar semuanya kami lakukan bersama untuk merehatkan minda serta memdapat idea-idea baru. Kenangan manis bersama mereka adalah semasa ramadhan dan kebetulan kami semuanya pada masa itu 7 orang termasuk saya semuanya boleh solat dan tidak mahu melepaskan peluang bertarawih di masjid negara. Maka kami semuanya sudah memakai telekong, menaiki kereta Proton Saga yang banyak berjasa itu ke masjid negara (alhamdulillah pada masa itu mereka semua comel sahaja bentuknya) dan berlari-lari anak untuk memastikan dapat mengikuti takbir pertama Solat Isyak...


Jika sahabat saya Nurfeta tinggal bersama pada Januari 1995 dan memeriahkan hidup saya tetapi sebelum itu ada seorang lagi sahabat saya bersama anaknya Puan Jamiah Mukhtar, pemilih tanah di Telok Iskandar Mersing ini, tinggal bersama kami untuk beberapa bulan sahaja atas sebab-sebab tertentu. Pegawai Perancang Bandar dan Desa yang mempunyai hartanah di mana sahaja dia di tugaskan ini memang ahli ABIM yang komited dan tegas dalam mempertahankan hukum Islam tetapi dalam masa yang sama juga lucu orangnya. Semuanya ini membuatkan hidup saya lebih bermakna pada masa itu, alhamdulillah3x. Bersama kak Jamiah jugalah saya belajar berenang bersama di mana kelas ini di kendalikan oleh jurulatih wanita dan masa latihan kami juga hanya di buka untuk wanita sahaja. Alhamdulillah setelah beberapa bulan kami boleh menguasai semua kemahiran tersebut. Alhamdulillah akhirnya Anak Mersing yang tinggal dekat dengan laut ini pandai berenang.


Salah satu dari kegemaran saya adalah bercuti atau melancung tidak kiralah di dalam atau luar negara. Jauh berjalan luas pemandangan atau banyak pengalamannya. Selalunya saya akan pergi bercuti dalam negara bersempena cuti umum yang lain seperti cuti hari perayaan. Selepas balik dari Kuwait saya ke Pulau Tioman sebaik sahaja menziarahi saudara mara di Endau dan Mersing. Saya fikir salah seorang dari penyelaras Mukabuku (FB) Anak Mersing Eddy Garcia telah lahir pada masa itu. Ogos 1990 saya ke Salang Tioman juga pada 1995 ke Tekek pula, kedua-duanya seorang diri, bagi saya untuk pergi bercuti, seorang boleh, berkawan lagi meriah tiada masalah. Saya boleh membaca, cari kawan baru, lapangkan fikiran, buat apa yang disukai seperti meneroka kawasan sekeliling, berenang, mencuba makanan baru, mengambil gambar dan yang paling disukai mendengar suara ombak menghempas pantai, kicauan burung, menghidu haruman segar dari pepohon menghijau serta lupakan segalanya... hanya saya dan alam sambil mengkagumi Penciptanya. Laut selalu mengamit saya supaya kembali lagi untuk bersamanya, sifatnya yang terbentang luas itu terlalu misteri bagi saya untuk diterokai - suatu hari nanti insyaAllah.


Pada Mei 1995 Saya mendaftarkan diri sebagai penyelam skuba. Akhirnya hajat saya tercapai juga untuk meneroka laut, apakah yang ada didalamnya, alhamdulillah. Setelah berlatih di kolam biasa sahaja pada bulan Julai saya bersama jurulahir dan beberapa rakan penyelam yang baru ke Pulau Tenggol Terengganu. Kami perlu lulus untuk mendapat pengiktirafaan sebagai penyelam di tempat yang cetek sahaja tetapi perlu tahu mengendalikan peralatannya dengan betul, bagaimana turun dan naik dengan betul, berinteraksi dengan rakan menyelam ( setiap penyelam perlu mempunyai rakan penyelamnya dan kami mesti bertanggungjawab terhadap satu sama lain atau buddy system) seperti sekiranya tangkinya kehabisan udara seorang lagi mesti berkongsi udara bersama, tahu mengapungkan diri juga cara yang betul membawa diri supaya tidak tersentuh atau terlanggar batu karang. Kita juga perlu mengetahui apakah jenis-jenis ikan, binatang lain dan tumbuhan yang ada di tempat tersebut. Penyelaman juga mempunyai pelbagai jenis seperti (floor dive) kita boleh lihat atau pergi ke dasar atau lantai laut atau (wall dive) hanya mengelilinginya atau untuk lihat rangka kapal (rack dive).


Tidak dapat saya nukilkan pengalaman pertama berada di dasar laut, betapa cantiknya pemandangan di dalamnya - dengan kesejukan airnya, pelbagai jenis ikan berenang kesana sini samada bersendirian atau berkelompok, pokok-pokok yang beraneka warna melentok ke kiri atau kanan mengikut arus, ada yang lembut dan yang keras seperti batu karang yang pelbagai bentuk dan warna. Untuk pengetahuan semua,bunyi bergerak lebih pantas di dalam air. Suasananya sibuk sekali kedengaran Parrot Fish mengigit di celah-celah batu karang memakan rumpai laut. Ikan pari bermain sembunyi di dasar laut, mentimun laut pula bertaburan di sana sini dengan pelbagai warna dan saiz dan yang paling mengasyikkan saya adalah pelbagai jenis ikan bila berenang kesana sini warnanya seakan-akan berubah katakan dari biru boleh menjadi 6 jenis warna biru yang lain bila terkena sinaran mentari Subhanallah, sekiranya pensil warna anak-anak kita mempunyai 24 atau 36 warna maka rasanya lebih banyak lagilah warna yang boleh di hasilkan oleh ikan tersebut. Perasaan yang hebat dirasakan bila boleh terapung dan bergerak seperti ikan - Yeahhh!!!.... i am a fish too... saya suka menyakat ikan yang berenang secara berkumpulan, lemparkan diri saya dalam kumpulan tersebut dan sekejap sahaja mereka akan kembali membentuk kumpulannya, tak marah pun!.... tetapi perlu tahu juga apa jenis ikan sekiranya buat perkara yang sama ke dalam kumpulan ikan barakuda,alamatnya hanya tinggal 'nama'.... (jadi santapan mereka!) Pada kunjungan pertama 3 hari 2 malam itu saya tidak makan ikan... tidak sanggup rasanya selepas melihat ianya begitu cantik, gembira di dalam laut. Tetapi biasalah manusia... bila sudah lupa maka makanlah semula...


Tahun 1995 dan 96 saya selalu mengikuti kumpulan penyelam ke sana sini meneroka dan menimba pengalaman baru saya ke Pulau Tenggol, Pulau Redang, Pulau perhentian di Terengganu, Langkawi dan Menado Sulawesi Selatan Indonesia untuk 'Wall Dive' - ini bermakna kita tidak akan melihat dasar laut sebaliknya hanya mengelilingi gunung tersebut. Ianya menakutkan dengan arus yang sangat deras dan kita hanya mengikut arus sambil menikmati pemandangannya serta mengenalpasti apakah jenis ikan yang berada di tempat tersebut. Kunjungan kesana juga memberi kesempatan untuk kami memdaki salah satu dari gunung berapi yang masih ada gelodaknya seperti gambar yang anda dapat lihat. Untuk sampai ke atas kami mengambil masa mendaki dengan berjalan kaki selama 1 jam. Apa yanga menarik perhatian saya adalah apa jua tanaman yang di tanam di kaki gunung ianya sangatlah subur MashaAllah dengan saiz yang sekali atau dua kali ganda dari yang biasa kita lihat seperti kobis, kobis bunga, sawi, pokok lada hitam serta rempah ratus yang lainnya.Kami juga mencuba pelbagai jenis makanan tempatan di sana. Sepekara lagi yang mengkagumkan saya adalah pusat peranginan yang kami tinggal itu di tepi laut dan saya boleh melihat matahari terbit di sebelah kiri saya dan matahari terbenam di sebelah kanan sekiranya saya berdiri di depan rumah tumpangan kami itu.



Dalam masa yang sama penglibatan saya dalam ABIM berjalan seiring dengan aktiviti yang lain. Salah satu dari program yang saya hadiri di Setiu Terengganu adalah mengenai menguji ketahanan mental dan fizikal seseorang. Selain dari pendedahan mengenai berita terkini perkembangan pertubuhan di adakan juga perbincangan,perbahasan mengenai isu semasa dan apakah tindakan kita seterusnya. Senaman di adakan setiap pagi dan aktiviti lasak juga di sertakan. Saya memang berminat dan tidak sabar untuk menuji di tahap manakah kemampuan saya di antaranya adalah turun dari tempat yang tinggi - hilang semangat bila melihat ke bawah dan kami mesti menjerit sebagai penguat semangat, alhamdulillah saya dapat melakukannya dengan jaya. Pertama kali mencuba flying fox sangat mengujakan. Saya sangat gembira dan ianya antara program terbaik yang saya ikuti. Alhamdulillah ianya bersesuaian pula dengan destinasi saya seterusnya iaitu ke Pulau Perhentian untuk menyelam.


Pada tahun 1996 saya membuka satu lagi cawangan di Johor Bahru selain dari dua buah di Kuala Lumpur dan bercadang untuk berpindah ke sana. Mulai akhir tahun tersebut saya menyertai kumpulan berbasikal (Mountain Bike Group)yang kami lakukannya pada hujung minggu. Dalam kumpulan itu hanya saya seorang sahaja perempuan tetapi kesemuanya adalah orang yang saya hormati, percayai, sangat prihatin dari pelbagai bangsa dan peringkat umur serta kerjaya. Selalunya kumpulan kami di antara 8 - 12 orang pada setiap kali. Kami menjelajah hampir ke serta tempat di sekitar negeri Johor seperti ke Kota Tinggi, Jamaluang, pesekitaran gunung Lambak dan ke Mersing juga. Kami berbasikal ada kalanya hingga 40km sebelum kembali ke tempat kereta diletakkan. Pelbagai situasi yang di alami - berjumpa dengan bekas tapak kaki yang masih baru pelbagai jenis haiwan seperti gajah, beruang, harimau dan tidak termasuk juga kejadian di mana tiba-tiba sahaja babi hutan melintas di hadapan kumpulan kami. Selalunya kami menunggang basikal tapi ada masanya kami perlu memikul basikal tersebut... Pada satu masa beberapa dari ahli kumpulan kami di sengat tembuan dan di kejarkan ke hospital... Ianya pengalaman yang memenatkan, mencabar (bila saya fikir semula memang macam tidak waras!..) tetapi saya menyukainya.


Hidup memang penuh dengan warna warni. Pada awal 1997 penyakit Endometriosis saya datang kembali dan perlu di bedah segera. Ianya adalah gangguan hormon yang melibatkan 10% dari penduduk wanita dunia dan ianya ada kaitan dengan ketidaksuburan. Keadaan di mana darah haid sepatutnya keluar tetapi masuk kembali dan membentuk seperti buah angur dan sekiranya ianya telah melebihi dari 4cm, pembedahan perlu di lakukan. Selalunya ia di ikuti dengan kesakitan semasa kedatangan haid (alhamdulillah saya tidak menghadapinya) tetapi nenesannya apabila ianya melebihi dari 7 hari. Sehingga kini, saintis masih belum mengetahui bagaimana ianya boleh berlaku tetapi cara mengubatinya adalah semada mengandung, menyusukan bayi atau tidak didatangi haid lagi. Mungkin doktor Rahim Arifin, doktor kita di Anak Mersing boleh betulkan saya atau beri maklumat lanjut.


Berbalik kepada masalah saya tadi setelah diperiksa oleh doktor di Pusat Rawatan Islam dan saya berjumpa juga dengan doktor pakar di Pusat Rawatan Kg Baru - keputusan yang sama. Saya sememangnya lebih suka kepada cara perubatan alternatif, tidak bergantung kepada ubat-ubatan sintatik. Saya juga tidak ingat bila kali terakhir saya mengambil panadol atau yang seumpama dengannya tetapi mungkin 15/20 tahun yang lalu. Alhamdulillah sehingga kini Allah mengurniakan kesihatan yang baik, setakat deman batuk atau selsema itu adalah perkara biasa 2/3 kali dalam setahun dan kita perlu untuk dapat sebagai pelindung untuk membentuk sistem pertahanan badan kita. Saya mula mendapatkan maklumat dan berjumpa dengan Dr Man. Itu sahaja yang dia mahu dirinya di kenali. Keliniknya yang sentiasa penuh di Shah Alam ini ada keistimewaannya yang tersendiri. Dr Man memang seorang jurubedah tetapi telah berhenti dari kerjayanya dengan kerajaan. Dia boleh membedah tanpa ubat bius, mengawal pengeluaran darah yang berlebihan dan tanpa jahitan. Setelah di periksa saya di jadualkan di bedah pada hari itu, salah satu dari syaratnya mesti ada seorang saksi dari ahli keluarga menyaksikan pembedahan tersebut. Salah seorang dari 2 orang kakak saya bersetuju untuk menjadi saksi. Seperti biasa saya memang takut melihat darah atau jarum, ambil darah yang setitik untuk mengetahui apa jenis darah pun saya tidak mahu melihatnya, memang tidak layak walau untuk jadi pembantu jururawat! sebab mungkin saya yang pengsan dulu.... jadi bagaimana hendak menghadapi situasi ini - semasa saya di meja pembedahan saya tanya lagi apa yang saya perlu buat bila saya di beritahu yang saya akan sedar sepanjang masa itu. Semasa pembedahan di lakukan dia membuka tingkap cermin kecil di sebelah dinding bilik tersebut jadi sesiapa yang di kelinik dia dia boleh melihat pembedahan tersebut. Dia hanya berkata tenangkan hati dan zikir sahaja (sabo jer!). Semasa dia membelah perut saya, saya boleh merasakan kulit saya di tarik kekiri atau kanan dan kapas di lapkan, dia hanya membuka 4 inci sahaja tetapi dia berkata saya tidak boleh hendak mengambil yang selebihnya dan perlu membuka lagi 2 inci tapi dia perlu berbincang dengan kakak saya,(alaihai!... kakak saya ni ngeri pula melihat saya di bedah dan duduk jauh-jauh dari katil saya) maka dia pun meninggalkan saya sebentar - Oooops helo!... apa! nak bincang-bincang? Perut saya tengah terbuka ni, tolong cepat sikit ya!... sebenarnya saya tidak merasa sakit sedikit pun dan yang saya nampak dia hanya baca bismilah sahaja sebelum memulakannya. Laaa... macam tu je ke! Setelah lebih kurang 2/3 minit (tetapi saya merasakna seperti terlalu lama) dia kembali meneruskan tugasnya iaitu memotong lagi 2 inci dan dengan mudah mengeluarkan 'ketulan angur' itu (bebiji yang mengandungi darah) dan berkata dia akan menutup luka saya dan minta saya bertenang. Dia hanya membaca sebaris surah pendek dari juz ammar dan saya merasakan seperti kena panahan petir (tidak pernah kena pun tapi macam kilat) dan meras panas di luka tersebut. Ok dah siap! katanya. Itu sahaja. Saya pun di bawa ke bilik lain dan minta berehat cuma katanya jangan ketawa kuat sangat atau batuk atau dia akan jahit luka saya itu ( dia berkata macam berlawak - alahai! betul ke doktor ni) Saya tidak merasa apa-apa cuma macam terkejut sahaja. Setelah 5 jam saya di benarkan pulang, dan perlu menuruni tangga yang tinggi tetapi saya tidak merasa sakit. Perbelanjaannya kurang dari RM3000.00 dan setelah 1 bulan saya boleh memandu dan menjalani kehidupan seperti biasa. alhamdulillah. Apa yang saya dengar dia belajar membedah cara Islam sebagaimana Rasullulah di bedah dan mempelajarinya di Indonesia. Apa yang penting saya telah sembuh dan terpulanglah kepada anda semada untuk mempercayainya atau tidak. Saya suka kalau dapat komen dari Dr Rahim mengenai peristiwa ini.


Saya ingin menceritakan sedikit apa yang berlaku kepada En Majid Al Refai setelah kami berpisah. Setelah 2 tahun dia mula datang ke Malaysia tapi atas urusan perniagaan. Setiap kali sampai dia akan menguhungi saya dan ada kalanya dia menyatakan baru sahaja tiba dan masih menunggu untuk mengambil begnya di lapangan terbang serta bertanya sekiranya saya boleh berjumpa dengannya (laa... malasnya nak layan!). Pada mulanya saya selalu memberi alasan untuk tidak mahu berjumpa dengannya tatapi saya berfikir yang saya tidak mempunyai perasaan lagi terhadapnya dan apalah salahnya (salah sebenarnya!)berjumpa dengan kawan lama. Dia berkata mahu menolong saya dalam perniagaan untuk mengembangkannya lagi - hmm... saya sebenarnya sedang merancang untuk menggunakan sistem franchais bagi TASKA saya pada masa itu. Dia menghantar seseorang untuk menguruskannya seperti kajiselidik tentang projek tersebut dan apa sahaja yang saya perlukan dan mula menerima wang untuk projek tersebut. Saya bukan sahaja menerima wang tetapi ada jambangan bunga juga hmmm.... apalah sebabnya ya?....


Saya amat bersyukur atas apa yang berlaku dan ianya menjadikan saya lebih dewasa dan saya, seperti saya hari ini. Nampaknya hanya setakat ini sahajalah coretan saya pada kali ini. Maaf juga di pinta kerana ianya lambat diterbitkan kerana saya memerlukan masa untuk (kembali di masa itu) serta mengumpulkan semua maklumat. Kita akan lihat apa yang berlaku di antara saya dengan En Majid pada siri akan datang insyaAllah. Maafkan saya sekiranya ada kesilapan di sana sini dan moga anda semua di rahmati dan di berkati Allah hendaknya. Wassalam

3 comments: